'Petugas KKM berpakaian PPE bawa mayat video lama'
Polis hari ini mengesahkan bahawa klip video yang tular di media sosial yang memaparkan beberapa petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang lengkap berpakaian pelindung khas (PPE) mengusung mayat adalah video lama dan bukannya berlaku di Brickfields, Kuala Lumpur.
Ketua Polis Ibu Pejabat Daerah Brickfields, Zairulnizam Mohd Zainuddin berkata siasatan mendapati kejadian itu berlaku pada 16 Mei di Kuala Langat, Selangor.
"Ketua Polis Daerah Brickfields menafikan video viral tersebut berlaku di sekitar kawasan YMCA dan Sentral di mana dan semakan lanjut telah dibuat dengan pihak KKM dan IPD Kuala Langat yang mendapati kejadian video tular tersebut sebenarnya berlaku pada 16 Mei di kawasan Kuala Langat, Selangor.
"Kepada orang ramai terutamanya penduduk di kawasan Brickfields, tidak perlu rasa takut atau risau dengan ketenteraman awam serta keselamatan di Brickfields yang mana dalam keadaan baik dan terkawal dalam tempoh PKPB," kata Zairulnizam.
Terdahulu, klip video berdurasi enam saat itu telah tular di media sosial dengan dakwaan kejadian berlaku di sekitar Brickfields.
Sementara itu, Zairulnizam meminta orang ramai agar menyemak setiap maklumat yang diterima dan lebih bertanggungjawab dengan tidak menyebarkan sebarang maklumat yang tidak sahih.
"Kes ini disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988 (Akta 588) kerana mengedar atau menyebarkan maklumat tidak benar melalui media sosial hingga boleh mengganggu gugat ketentaraman awam," katanya.

