mk-logo
Berita
Elak malu besar, Umno nasihati PH tak tandingi PRK Chini
Diterbitkan:  May 26, 2020 2:02 PM
Dikemaskini: 8:03 AM

Pakatan Harapan digesa tidak bertanding di Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Chini supaya tidak malu besar kerana tidak mampu mencabar kekuatan Muafakat Nasional (MN).

Setiausaha Agung Veteran Umno, Mustapha Yaakub berkata ini kerana PH tidak mampu untuk menandingi kekuatan gabungan BN dan PAS.

"Sesungguhnya Chini telah sekian lama menjadi kubu kuat BN. Bagaimanapun kewujudan rancangan tanah Felda di Chini menjadikan PAS bertapak kuat di kawasan ini dan menjadi musuh utama BN.

"Dengan wujudnya MN maka Chini sudah pasti milik BN/MN dan PH akan sekali lagi mendapat malu besar terutama dalam suasana politik hari ini.

"Gabungan undi BN dan PAS tidak mungkin dicabar oleh PH," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, pada PRU14 yang lalu, Umno menang kerusi tersebut dengan selesa meskipun dicabar oleh PAS dan PH.

Pada PRU14 DUN Chini, BN menang dengan majoriti 4,622 selepas mendapat 10,027 undi atau 47.2 daripada jumlah keseluruhan undi.

“PAS pula memperolehi 5,405 undi (25.4 peratus) dan PH hanya mampu mendapat 1,065 undi (5.0 peratus) dan hilang wang pertaruhan.

"Kemunculan PH hanya dalam PRU14 ketika tsunami politik," katanya.

Justeru, katanya adalah sewajar bagi PH untuk memberi laluan percuma kepada Umno.

"Tindakan itu boleh menyelamatkan perbelanjaan SPR. Ia juga dapat membantu kerajaan di dalam usaha melawan Covid-19," katanya lagi.

SPR pada 15 Mei menetapkan 4 Julai sebagai tarikh PRK Chini, Pahang, susulan kematian Adun kawasan itu, Abu Bakar Harun, 60, kerana serangan jantung pada pada 6 Mei lalu.

Tarikh penamaan calon pula ialah pada 20 Jun manakala tarikh mengundi awal pada 30 Jun. Tempoh berkempen ditetapkan selama 14 hari mulai selesai penamaan calon sehingga jam 11.59 malam pada 3 Julai.

Kerusi DUN itu mempunyai 21,251 pengundi terletak di bawah parlimen Pekan yang disandang oleh bekas perdana menteri Najib Razak.

Lihat Komen
ADS