Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
MP k'jaan, PH kecam ugutan rogol, bunuh 2 Adun wanita
Diterbitkan:  May 27, 2020 2:02 PM
Dikemaskini: 6:48 AM

Anggota Parlimen kerajaan dan juga pembangkang menyuarakan sokongan kepada dua Adun DAP yang menerima gangguan seksual dan juga ugutan bunuh di internet baru-baru ini.

Ia susulan laporan polis yang dibuat Adun Bandar Utama, Jamaliah Jamaluddin selepas menerima ancaman rogol dan bunuh di Facebook.

Menurut laporan The Sun yang memetik All Women’s Action Society (Awam) sebagai berkata, pelaku turut didakwa membuat kenyataan bernada perkauman terhadap Jamaliah dan Adun Kampung Tunku, Lim Yi Wei.

Anggota Parlimen Pengerang Azalina Othman Said, yang juga anggota Majlis Tertinggi Umno, menyuarakan kekecewaannya berkenaan perkara itu di Twitter hari ini.

"Cukuplah...enough is enough...sudah masuk tahun 2020. Hanya pengecut yang baling batu sembunyi tangan," ciapnya.

Ciapan itu menyertakan pautan laporan berita berkenaan kenyataan Anggota Parlimen Bagan Lim Guan Eng berhubung insiden itu.

Beliau turut menyertakan sejumlah tanda pagar, termasuk #MeToo, yang merupakan gerakan global menentang gangguan seksual.

Semalam, Guan Eng mengecam serangan terhadap Jamaliah dan Yi Wei dan menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan segera terhadap pelakunya.

"Saya mengecam gangguan seksual ke atas Jamaliah dan Yi Wei. Sebarang bentuk gangguan seksual adalah tindakan jenayah yang tak patut dipandang remeh dan dibiar menjadi budaya masyarakat kita.

"Saya harap pihak berkuasa akan ambil tindakan sewajarnya," kata setiausaha agung DAP itu.

 Presiden PKR merangkap Anggota Parlimen Port Dickson Anwar Ibrahim juga menggesa siasatan segera dilakukan terhadap perkara itu.

"Bersama mengecam gangguan seksual ke atas Adun Bandar Utama Jamaliah Jamaluddin dan Adun Kampung Tunku Lim Yi Wei seperti yang dilaporkan. Menggesa siasatan segera dijalankan oleh pihak berkuasa."

Bekas timbalan menteri belia dan sukan Steven Sim, yang juga anggota Parlimen Bukit Mertajam, pula menggesa kerajaan Perikatan Nasional (PN) mempercepat pembentangan Rang Undang-undang berkenaan gangguan seksual.

"Sudah hampir 20 tahun sejak gabungan NGO yang dikenali sebagai Joint Action Group Against Violence Against Women (JAG) menghantar memorandum dan rangka Rang Undang-undang Gangguan Seksual kepada kerajaan pada 2001. Versi kemas kini juga dihantar kepada kerajaan PH pada Oktober 2019.

"Timbalan perdana menteri ketika itu, Dr Wan Azizah Wan Ismail komited untuk membentangkannya pada sidang Parlimen Mac 2020. Bagaimanapun, selepas pentadbiran bertukar, kerajaan baru belum menunjukkan sebarang komitmen terhadap undang-undang penting ini.

"Saya menggesa kerajaan persekutuan mengambil tindakan segera berkenaannya. Kita perlu banteras budaya ketidaksamaan dalam masyarakat dengan mesej tegas yang disokong undang-undang, bahawa tidak betul untuk membuli wanita," katanya dalam kenyataan.

Mengecam gangguan yang diterima Jamaliah dan Yi Wei, Beliau berkata ia hanyalah satu daripada banyak peristiwa di mana wanita, sama ada ahli politik atau tidak, terpaksa menempuhi gangguan hanya kerana jantina.

Lihat Komen
ADS