Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
‘Tak payahlah jadi hero PATI’
Diterbitkan:  May 27, 2020 4:13 PM
Dikemaskini: 8:55 AM

Kerajaan menasihatkan pemimpin politik, khususnya pembangkang dan aktivis hak asasi manusia, termasuk badan bukan kerajaan (NGO) supaya tidak menjadi wira dengan membantah proses penangkapan pendatang tanpa izin (PATI) bagi membendung wabak Covid-19 di negara ini.

Justeru,  Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob pada sidang media hariannya, berkata adalah salah untuk menuduh kerajaan Malaysia bertindak tanpa perikemanusiaan ke atas pendatang itu.

“Jadi tak baik untuk menuduh Malaysia bertindak tanpa perikemanusiaan. Sebenarnya negara lain jauh lebih teruk cara mereka kendalikan PATi di negara mereka. Kita ini dah kira baik.

“Jadi tak payahlah ada di kalangan pemimpin parti poliik, dan badan bukan kerajaan (NGO) untuk mengambil kesempatan ini nak jadi hero kepada PATI," katanya di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata, Malaysia tetap melayan pendatang asing secara adil dan layanan baik termasuk memberi makanan secukupnya walaupun dihantar ke depoh tahanan walaupun mereka secara terang-terangan melanggar undang-undang negara dengan memasuki negara ini secara haram.

“Bila timbul isu positif Covid-19 di depot (tahanan imgresen), kita buat saringan 100 peratus ke atas semua supaya mereka kita dapat selamatkan, jika terkena jangkitan.

“Kita hantar mereka ke Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) Serdang untuk mendapatkan rawatan. Jika jika kamu pernah pergi, cukup cantik (tempat itu), kerajaan belanja berjuta-juta ringgit untuk wujudkan MAEPS ditukar menjadi hospital sementara,” katanya.

Menurutnya, mereka dihantar ke tempat terbaik untuk rawatan kesihatan.

“Inilah yang kita lakukan, kita akan buat saringan kepada mereka, kalau mereka didapati negatif, kita akan bincangn dengan negara asal mereka untuk ambil rakyat mereka pulang ke tanahair masing-masing,” katanya.

Semalam, sebuah portal memetik Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) sebagai berkata, kerajaan melayan pekerja migran secara tidak adil kerana mereka diburu dan ditangkap semasa penularan wabak berkenaan. Ini dikatakan berbeza sebelum ini ketika khidmat mereka diperlukan untuk membangunkan negara.

“Saya rasa Suhakam ini dia mungkin keliru, sebab warga asing atau pekerja asing di Malaysia ada dua kategori.

“Mereka yang mempunyai permit ini diperlukan di sektor pembinaan, perladangan atau sektor 3D (kotor, bahaya dan sukar) malah turut mencarum (dalam) Perkeso (Pertubuhan Keselamatan Sosial), serta mengikut apa yang ditetapkan undang-undang Pertubuhan Buruh Antarabangsa.

“Yang timbul isu ini adalah (mereka) yang masuk secara haram dan tidak mempunyai sebarang dokumen, sama ada dokumen perjalanan atau dokumen tempat kerja mereka,” katanya.

Ismail Sabri berkata, perkerja asing yang mempunyai permit pekerjaan, iaiatu mereka yang masuk secara sah tidak mempunyai sebarang masalah.

Beliau memberi contoh, semua penduduk termasuk pendatang tanpa izin dikurung sewaktu PKPD di Selangor Mansion, namun pihak berkuasa membebaskan mereka yang mempunyai dokumen untuk kembali menjalani kehidupan seperti biasa manakala mereka yang tidak mempunyai dokumen ditahan atas kesalahan memasuki negara ini secara haram.

Lihat Komen
ADS