Kerajaan yakin telah menyediakan kemudahan yang mencukupi bagi menghadapi kemungkinan peningkatan jangkitan wabak Covid-19 di kalangan tahanan di pusat Imigresen, menurut Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob.

Selain Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (Maeps) Serdang, Ismail sekali lagi memaklumkan berkenaan Pusat Kawalan Kusta Negara Sungai Buloh dan bangunan wad bersalin Hospital Kuala Lumpur yang telah dikhaskan untuk merawat mereka.

Beliau berkata demikian ketika ditanya berkenaan langkah kerajaan jika jumlah kes positif di tiga pusat tahanan Imigresen - Bukit Jalil, Semenyih dan Sepang - terus meningkat.

"Seperti dimaklumkan sebelum ini, kita bersedia...Sehingga hari ini, 230 kes dihantar ke Maeps. Maeps sahaja boleh menempatkan sehingga 600 pesakit," katanya.

Sebelum ini, beliau berkata ketiga-tiga pusat rawatan itu boleh menampung 1,430 pesakit.

Semalam, 155 daripada 187 kes baru Covid-19 dikesan di Depoh Imigresen Bukit Jalil.

Ia menjadikan depoh itu sebagai kluster kedua terbesar dengan 281 kes setakat ini, selepas kluster himpunan Tabligh Masjid Sri Petaling yang melibatkan 3,369 kes.

Sementara itu, jumlah kes positif di Depoh Imigresen Semenyih dan Depoh Imigresen Sepang masing-masing 66 kes (termasuk seorang pegawai Imigresen) dan 63 kes.

[Baca berita asal]