Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Covid-19: Hanya 15 kes baru, terendah sejak PKP
Diterbitkan:  May 27, 2020 5:13 PM
Dikemaskini: 10:01 AM

Setelah dua hari berturut-turut mencatatkan jumlah kes baru jangkitan Covid-19 tiga angka, jumlah hari ini kembali kepada dua angka.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah pada sidang akhbarnya di Putrajaya, hari ini, berkata sebanyak 15 lagi kes Covid-19 baru dicatatkan, menjadikan jumlah keseluruhan kes jangkitan adalah sebanyak 7,619.

Ini adalah kes baru terendah yang pernah dicatatakan. Sebelum ini, kes positif terendah adalah sebanyak 16 kes pada 12 Mei lalu.

Setakat tengah hari tadi, 42 lagi pesakit sembuh sepenuhnya, menjadikan jumlah keseluruhan yang pulih dari jangkitan wabak itu ialah 6,083 orang atau 79.8 peratus.

Ini menjadikan jumlah kes aktif Covid-19 sekarang adalah 1,4421 kes.

Dr Noor Hisham berkata, daripada 15 kes baru yang dilaporkan itu, enam kes terdiri daripada kes import yang mendapat jangkitan di luar negara.

“Daripada sembilan kes penularan tempatan pula, empat kes adalah bukan warganegara Malaysia,’ katanya.

Dr Noor Hisham berkata, sehingga kini, terdapat lapan kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Daripada jumlah tersebut, empat kes memerlukan bantuan pernafasan.

“Tiada kematian dicatat hari ini, jumlah kumulatif maut kekal 115 kes atau 1.51 peratus daripada jumlah keseluruhan kes,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata, penurunan kes Covid-19 penularan tempatan ini adalah selaras dengan unjuran sebelum ini oleh KKM.

Ia juga, katanya hasil tindakan kesihatan awam yang telah dilaksanakan sejak satu bulan lepas semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan seterusnya Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

"Peningkatan kes positif Covid-19 yang dilaporkan sejak beberapa hari lepas adalah disebabkan oleh pengesanan kes-kes Covid-19 di beberapa Depoh Tahanan Imigresen (DTI) dan lain-lain kluster aktif yang melibatkan bukan warganegara Malaysia.

“Ini adalah susulan tindakan pendekatan tertumpu kerajaan dalam membendung penularan kes Covid-19,” katanya.

Menurutnya, penurunan turut dibantu dengan pematuhan orang ramai terhadap norma dan kelaziman baru, serta Prosedur Standard Operasi (SOP) yang telah ditetapkan bagi pelbagai sektor dan industri.

 

Lihat Komen
ADS