Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tak semua pesakit akan discaj lepas 14 hari - KP KKM jelaskan protokol baru

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah menjelaskan bahawa pesakit Covid-19 yang terus menunjukkan gejala selepas 14 hari akan tetap menerima rawatan di hospital.

Pesakit yang mempunyai komplikasi juga akan dirawat selama yang diperlukan sehingga mereka pulih.

Bercakap dalam sidang media harian berkaitan Covid-19 hari ini, beliau berkata garis panduan rawatan baru itu kini sedang disiapkan.

"Sekarang ini kita tengah olah atau menerbitkan garis panduan untuk pakar-pakar dan doktor-doktor kita untuk melihat cara kita merawat pesakit dan mengurus pesakit untuk tempoh 14 hari.

"Mereka yang bergejala pada hari first (pertama) tapi hari ke-14 masih bergejala dan sebagainya, itu yang kita akan tahan lagi. Ada yang sebab virus (masih) kebolehjangkitan.

"Kalau mereka ada komplikasi virus tersebut, jadi memerlukan rawatan lanjutan.

"Jadi kita akan pantau dan rawat sehingga tak ada gejala dan baru kita boleh lepas 14 hari dan discharge (dikeluarkan) daripada wad," katanya ketika ditanya mengenai garis panduan baru.

Susulan maklumat terkini daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kementerian kesihatan akan menukar protokol dengan mengeluarkan pesakit Covid-19 selepas 14 hari, walaupun mereka diuji positif virus berkenaan.

Ini kerana pesakit tidak lagi dapat menjangkiti orang lain selepas tempoh dua minggu.

Semalam beliau berkata hasil 'positif lemah' daripada ujian RT-PCR yang diperolehi selepas 14 hari disebabkan pengesanan terhadap "virus yang sudah mati" dan tidak memudaratkan orang lain.

Pada masa ini, pesakit boleh dikeluarkan dari hospital selepas diuji negatif virus berkenaan.

WHO kata 10 hari

Mengulas lanjut, Noor Hisham berkata kementerian itu akan menyesuaikan garis panduan barunya berdasarkan laporan WHO yang menyatakan pesakit Covid-19 tidak lagi boleh menjangkiti orang lain 10 hari selepas mempamerkan gejala.

"Jadi kalau kita tetapkan 14 hari, jadi kita pasti kita akan discharge pesakit, tak perlu untuk kita kuarantin kat rumah lagi," katanya.

Ini bercanggah dengan kenyataannya semalam bahawa pesakit Covid-19 dinasihatkan menjalani kuarantin di rumah selama 14 hari selepas dikeluarkan dari hospital.

Malaysiakini sedang cuba mendapatkan penjelasan daripada kementerian berkenaan.

Noor Hisham berkata pesakit yang enggan pulang ke rumah selepas keluar dari hospital ditawarkan pilihan untuk berada di pusat kuarantin bagi pesakit asimptomatik (tidak menunjukkan gejala) atau bagi kes-kes dengan gejala ringan.

Lihat Komen
ADS