Separuh kos kuarantin pelajar luar negara ditanggung penaja mulai 1 Jun
Separuh kos kuarantin di hotel bagi pelajar tajaan di luar negara yang telah tamat pengajian perlu ditanggung oleh pihak penaja setelah mereka pulang ke tanah air mulai 1 Jun ini.
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata 50 peratus caj kuarantin itu akan ditanggung oleh kerajaan manakala 50 peratus lagi akan ditanggung penaja.
"Pelajar yang tamat tempoh (pengajian) ini ada ditaja oleh agensi kerajaan dan juga JPA (Jabatan Perkhidmatan Awam), ramai mohon supaya mereka ini dikecualikan (caj hotel).
“Kita telahpun bersetuju untuk penaja tanggung (separuh) dan ibu bapa tidak perlu bimbang," katanya pada sidang media harian perkembangan terkini Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Putrajaya, hari ini.
Ismail Sabri berkata setakat ini kira-kira 18,000 rakyat Malaysia di luar negara yang mendaftar permohonan secara dalam talian dan menandatangani surat aku janji pembayaran 50 peratus caj hotel bagi kuarantin wajib selama 14 hari setelah kembali ke Malaysia.
Beliau berkata sebahagian besar daripada jumlah itu ialah pelajar yang telah tamat tempoh belajar dan tidak perlu lagi berada di luar negara.
- Bernama

