Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Exco agama Pemuda Bersatu saran Wan Saiful kembali pada PAS
Diterbitkan:  May 29, 2020 9:27 AM
Dikemaskini: 2:05 AM

Pergolakan dalaman Bersatu dilihat melarat hingga ke peringkat lebih rendah.

Malam tadi, exco agama Pemuda Bersatu (Armada) Abu Hafiz Salleh Hudin pula menghentam anggota Majlis Tertinggi parti itu Wan Saiful Wan Jan susulan isu pemecatan Dr Mahathir Mohamad dan empat lagi.

Malah, Abu Hafiz cuba menunjukkan jalan keluar kepada Wan Saiful.

“Melihat kepada gelagat saudara Wan Saiful, mungkin sudah sampai masanya untuk beliau kembali bersama dengan parti lamanya, Parti Islam Se-Malaysia (PAS),” Tulisnya di Facebook lewat malam tadi.

Wan Saiful semalam berkata parti itu tidak memecat Dr Mahathir dan empat lagi pemimpin parti yang memihak padanya.

Wan Saiful Wan Jan 

Bekas peneraju badan pemikir Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas) itu berkata tindakan mereka duduk di blok pembangkang semasa sidang Dewan Rakyat pada 18 Mei lalu menyebabkan keanggotaan mereka gugur secara automatik.

Dalam tulisan bertajuk “Respons tegas buat saudara Wan Saiful Wan Jan”, Abu Hafiz juga menyelar Wan Saiful yang menurutnya cuba menjuarai isu itu dan “seolah-olah menjadi jurucakap rasmi” parti.

“Barangkali beliau cuba menjuarai isu ini dengan berusaha memperlihatkan keintelektualannya sebagai aset yang harus dihargai oleh Tan Sri Muhyidin, presiden Bersatu bagi mendapat tempat yang lebih selesa mungkin.

“Saudara Wan Saiful Wan Jan dilihat terlalu ghairah mahukan Tun Mahathir dan ahli-ahli Parlimen Bersatu yang bersama dengan beliau agar segera ‘diusir’ keluar daripada Parti kononnya atas kepentingan disiplin parti,” katanya.

Setiausaha Kerja Bersatu Muhammad Suhaimi Yahya semalam menghantar surat membatalkan keahlian Mahathir, timbalan presiden Bersatu, Mukhriz Mahathir; Ketua Pemuda Bersatu Syed Saddiq Syed Abdul Rahman serta anggota majlis tertinggi Bersatu, Maszlee Malik dan Amiruddin Hamzah.

Keputusan itu dibuat kerana mereka duduk di blok pembangkang semasa sidang Dewan Rakyat 18 Mei lalu.

Kelima-lima mereka mempertikaikan tindakan berkenaan.

Lihat Komen
ADS