Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Lepas kluster baru dikesan, KKM saran majikan saring pekerja

Kementerian Kesihatan (KKM) menasihatkan majikan agar menjalankan ujian saringan Covid-19 terhadap pekerja walaupun ia tidak diwajibkan kerajaan.

Ia susulan kluster baru dikenal pasti melibatkan 24 kes, selepas sebuah syarikat pembersihan membawa kesemua 150 pekerjanya untuk menjalani ujian itu.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah hari ini memuji langkah proaktif yang diambil syarikat tersebut.

"Kita harus puji majikan tersebut kerana melaksanakan inisiatif sendiri untuk hantar pekerja untuk disaring.

"Sekarang ada kes positif (di kalangan mereka), kita dapat ambil tindakan. Kalau tidak mungkin ia akan menjangkiti (lebih ramai orang)," katanya ketika sidang media di Putrajaya.

Noor Hisham menggesa majikan lain untuk mencontohi langkah itu.

"Penting untuk majikan dan rakyat seluruhnya bekerjasama dengan KKM dengan mengambil tindakan sosial yang bertanggungjawab, untuk kita laksanakan saringan kepada 'anak-anak buah' kita.

"Kalau majikan boleh menjalankan saringan seperti ini, kita dapat mengesan lebih banyak kes positif," katanya.

Kesemua 24 kes positif melibatkan pekerja warga Bangladesh syarikat pembersihan itu.

Menurut KKM, 20 pekerja tinggal bersama di sebuah hostel di Kuala Langat, Selangor manakala empat orang lagi di sebuah apartmen di Nilai, Negeri Sembilan.

Sumber jangkitan masih dalam siasatan tetapi Noor Hisham berkata ia mungkin ekoran keadaan tempat tinggal yang sesak yang menyukarkan penjarakan sosial.

Kebanyakan kes mutakhir libatkan pekerja asing

Beberapa kluster lain - seperti pasar borong Kuala Lumpur, kilang di Pedas, pusat tahanan Imigresen dan Pudu - juga melibatkan pekerja asing.

Menurut Noor Hisham, 78 peratus daripada kes positif antara 4 hingga 29 Mei melibatkan golongan itu.

[Baca berita asal]


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.
Lihat Komen
ADS