Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Covid-19 di Malaysia: 103 kes baru, 84 warga asing
Diterbitkan:  May 29, 2020 5:13 PM
Dikemaskini: 1:58 PM

Malaysia mencatatkan 103 lagi kes Covid-19 baru, menjadikan jumlah keseluruhan kes jangkitan yang dicatatkan adalah sebanyak 7,732 kes.

Dalam sidang media hari ini, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, lonjakan kes baru adalah melibatkan jangkitan terhadap warga asing.

Daripada 103 kes baru, tujuh merupakan kes import.

Daripada 96 kes jangkitan tempatan pula, 84 kes melibatkan warga asing, yang terdiri daripada 53 kes dari kluster Pedas, iaitu membabitkan syarikat kilang memproses ayam di Negeri Sembilan.

Sebanyak 24 kes dikesan melibatkan kluster syarikat pembersihan.

Justeru, kata Noor Hisham, hanya 12 kes melibatkan warganegara malaysia.

Setakat tengah hari tadi, 66 lagi pesakit sembuh sepenuhnya, menjadikan jumlah keseluruhan yang pulih dari jangkitan wabak itu ialah 6,235, atau 80.64 peratus daripada keseluruhan kes.

Mengambil kira kes yang sudah sembuh, jumlah kes aktif Covid-19 di Malaysia ialah 1,382 kes.

Noor Hisham juga hari ini memaklumkan tiada kematian baru dilaporkan, menjadikan jumlah korban akibat Covid-19 di Malaysia kekal sebanyak 115 kes.

Kluster baru warga asing

Sementara itu, Kementerian Kesihatan (KKM) telah mengenal pasti satu kluster baru melibatkan warga asing.

Noor Hisham berkata, kluster itu melibatkan pekerja bukan warganegara Malaysia di sebuah syarikat pembersihan.

"Sehingga 29 Mei 2020 jam 12 tengah hari, sebanyak 24 kes positif Covid-19 telah dilaporkan dalam kluster ini yang melibatkan warganegara Bangladesh.

"Kes-kes positif ini dikesan oleh sebuah klinik swasta yang telah menjalankan saringan Covid-19 ke atas pekerja-pekerja sebuah syarikat pembersihan.

"Saringan ini telah dijalankan sebagai inisiatif pihak majikan untuk menyaring pekerja mereka," katanya.

Daripada 150 pekerja bukan warganegara dari syarikat tersebut yang telah disaring, 126 kes didapati negatif Covid-19.

Noor Hisham memaklumkan bahawa daripada 24 kes positif kluster ini, 20 daripada mereka menginap di sebuah asrama di Kuala Langat, Selangor dan kini dirawat di Hospital Sungai Buloh.

Empat kes lagi menginap di sebuah pangsapuri di Nilai, Negeri Sembilan dan kini dirawat di Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban.

"Langkah-langkah pembendungan dan pencegahan seterusnya telah diambil seperti mengenal pasti dan menjalankan ujian saringan Covid-19 ke atas semua penghuni dan kontak rapat mereka termasuk pekerja bukan warganegara yang bertugas di unit lain.

"Setakat ini seramai 428 kontak rapat telah dikenal pasti dan akan disaring," katanya.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.
Lihat Komen
ADS