Paling Popular
Terkini

ULASAN | Perencanaan Muafakat Nasional yang menyatuhkan PAS dan Umno bukanlah sebegitu mudah bagai disangka. Ia tidak boleh dinilai secara sekali imbas.

Sebagai mahasiswa sains politik yang mengkaji PAS - dan kemudian menjadi ahli politik yang bekerja rapat dengan pemimpin parti itu - saya sering terkenang peluang-peluang yang dilepaskan PAS untuk mengubah haluan sejarah politik Malaysia.

Barangkali, itulah kisah salah langkah PAS.

Sejak pilihan raya umum (PRU) pada 1999 sehingga perceraian PAS dengan Pakatan Rakyat pada Jun 2015, wujud dua jalur pemikiran dalam parti berkenaan. Satunya mungkin boleh saya sebut sebagai para ‘asolah’ (purists) dan yang satu lagi para pengarus perdana (mainstreamers).

Para asolah ini hanya berminat untuk menang di kawasan Melayu - Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis - dengan tafsiran literal dan seringkali bersifat setempat terhadap Islam. Mereka tidak berminat untuk memenangi undi orang bukan Islam dan gembira memecahkan gabungan nasional yang menuntut kompromi.

Pengarus perdana - istilah yang digunakan mantan presiden PAS Almarhum Fadzil Noor dalam salah satu ucapan muktamarnya - pula muncul daripada PRU 1999 apabila calon parti itu yang mempunyai kelayakan profesional menang di beberapa kerusi parlimen di luar Kelantan dan Terengganu.

Ia juga merupakan indikasi potensi boleh menang PAS di peringkat kerajaan pusat dalam sebuah gabungan berbilang kaum. Parti itu memenangi 27 kerusi parlimen di tengah gelombang reformasi Anwar Ibrahim.

Namun para pengarus perdana ini berdepan kendala apabila Ustaz Fadzil meninggal dunia pada Jun 2002. Abdul Hadi Awang yang menggantikan almarhum pula menyokong pendekatan garis keras.

Menjelang PRU Mac 2004, parti itulah yang menawarkan Dokumen Negara Islam yang dilancarkan pada November 2003. PAS ditolak di seluruh negara.

Kemudian dari itu, para pengarus perdana tadi mendapat sedikit kelebihan, meski tidak berdepan jalan mudah antara 2005 dan 2013.

Para asolah - yang terkedepan ketika peralihan kuasa pada 1982 ke atas presiden parti pada waktu itu, Asri Muda - kini diperkukuhkan dengan generasi garis keras baru. Atas beberapa sebab mereka ini mudah mendekati lingkungan mantan perdana menteri Najib Razak selepas PRU 2013.

Kehilangan Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat - penimbang tara antara puak dalaman ini - pada 12 Feb2015 akhirnya membuka jalan bagi mereka yang sudah lama bersungguh-sungguh mahu bersama Najib dan Umno ketika tokoh dan parti terbabit berdepan skandal mega 1MDB.

Pihak lawan mereka kalah teruk dalam pemilihan parti pada muktamar 2015. Kepimpinan paru para asolah yang pro-Umno memutuskan untuk menghentikan kerjasama dengan DAP dalam Pakatan Rakyat.

Dengan berkuburnya Pakatan Rakyat, Amanah ditubuhkan oleh mantan anggota dan pemimpin PAS pada 16 Sept 2015, diikuti pembentukan Pakatan Harapan (PH) pada 22 Sept 2015.

Menyangkal perjuangan 40 tahun

Kerjasama di antara PAS dan Umno sepanjang 2014-2018 mencapai kemuncak apabila PAS bertanding sebagai ‘spoiler’ dalam PRU yang lalu. Apabila BN tewas buat pertama kali dalam sejarah, kedua-dua parti Melayu itu memutuskan untuk menubuhkan Muafakat Nasional pada 2019.

Ia sekali gus menyangkal perjuangan PAS tahun-tahun sebelumnya sejak 1982.

* Daripada antiassabiyah kepada ultra-Melayu

Idea ‘kepimpinan ulama’ adalah laungan pada 1982 bagi membezakan kepimpinan baru dengan retorik lama Asri yang mengutamakan Melayu. Ia adalah zaman orang Melayu memandang PAS sebagai parti orang kampung. Kepemimpinan baru 1982 mengangkat slogan menentang assabiyah - yang merujuk Umno sebagai sebuah parti Melayu sekular dan mesti dihancurkan.

* Daripada anti-Umno kini mendakap Umno

Pada masa yang sama, kumpulan Terengganu daripada generasi 1982 yang dipimpin Abdul Hadi menganjurkan sebuah usaha membezakan antara PAS dan Umno. Seakan perbezaan mazhab, orang PAS enggan solat berimamkan orang Umno, malah sanggup mengerjakan ibadah itu secara berasingan. Dengan pengalaman yang sedemikian perit, satu-satunya alasan yang diberikan supaya PAS dan Umno dapat bekerjasama ialah kononnya mereka kini menentang dominasi DAP dan orang bukan Melayu.

Hal ini amat meragukan apabila demikian ramai akar umbi PAS mempunyai hubungan baik dengan anggota DAP di bawah Pakatan Rakyat, termasuk ketika menyusun perhimpunan Bersih antara 2008 dan 2015.

* Imej Islam dalam politik

Tahun 1982 adalah saat perubahan dalam politik orang Melayu. Bukan saja PAS mendapat kepemimpinan baru, malah Umno di bawah Dr Mahathir Mohamad membawa masuk presiden Abim, Anwar Ibrahim, bagi menyuntik semangat Islam kepada parti itu. Pemimpin muda PAS - terutamanya Fadzil dan Abdul Hadi juga datang dari Abim.

Kebangkitan Islam pada zaman 1970-an diwakili di pihak kerajaan dan pembangkang. Pada 1982, simbolisme Islam dikira cukup kuat untuk menarik sokongan politik orang Melayu-Islam kepada kedua-dua pihak.

Pun begitu, hari ini komuniti Muslim lebih sofistikated. Memberitahu seseorang bahawa sukuk - sebuah produk perbankan Islam - sebagai sesuatu yang bagus sudah tidak memadai. Ketika sukuk digunakan untuk mencuri wang 1MDB, sekurang-kurangnya separuh populasi orang Islam tidak akan menerima suatu urus niaga korup sebagai halal, tidak kira apa pun namanya.

Tiada cara untuk PAS mengabsahkan jenayah kewangan Najib terhadap negara. Malah amat pedih bagi akar umbi PAS untuk bekerja dengan Umno yang masih dikuasai mereka yang mempunyai rekod meragukan dalam hal-hal skandal kewangan.

Satu campur satu tidak semestinya dua

Hari ini banyak klise dikitar semula dalam komentar politik Malaysia. Yang paling kerap diulang ialah bagaimana gabungan undi PAS dan Umno dalam PRU 2018 dapat menafikan kemenangan PH pada PRU ke-14.

Perkara pertama yang saya pelajari daripada penyelia tesis saya, John Funston, pada 2002 ketika saya mula-mula mengkaji PAS ialah parti itu biasanya menerima 30 peratus undi Melayu dalam kebanyakan pilihan raya.

Kebanyakan orang yang mengundi PAS bukan kerana mereka suka kepada parti itu tetapi atas sebab tertentu mereka tidak suka kepada Umno dan BN.

Hal yang sama turut terpakai pada 2018. Ratusan ribu orang dari Kuala Lumpur pulang ke kampung halaman di Terengganu dan Kelantan untuk mengundi PAS kerana mereka percaya bahawa parti Islam itu mempunyai peluang yang lebih baik menewaskan calon-calon Najib.

Ia bukannya bermakna bahawa mereka suka kepada PAS.

Mereka sama sahaja seperti orang di Pantai Barat Semenanjung Malaysia yang mengundi PH kerana mahu menendang keluar BN daripada kekuasaan. PRU lalu adalah pilihan raya anti-Najib dan antikleptokrasi.

Hari ini, kebanyakan pengundi yang memilih PAS pada PRU ke-14 mungkin tidak mengundi Umno mahupun PAS jika Umno masih dipimpin Ahmad Zahid Hamidi, Najib dan Tengku Adnan Mansor - yang masing-masing berdepan kes-kes rasuah di mahkamah.

Strategi Muafakat Nasional bukanlah strategi pilihan raya. Ia merupakan suatu upaya untuk membakar sentimen perkauman terhadap PH. Kepada orang Melayu, mereka katakan DAP menguasai kerajaan; dan kepada orang bukan Melayu, mereka tuduh Mahathir mengawal segala-galanya.

Tujuan mereka ialah untuk menghancurkan semuanya dan memecahkan PH dari tengah.

PAS akan berdepan jalan sukar untuk menang dalam PRU akan datang. Setelah membakulsampahkan semangat 1982, parti itu kini dipukau oleh Zahid dan Najib. PAS kini mendakap segala yang mereka benci selama hampir 40 tahun. PAS memang telah tersalah haluan.

Justeru, satu tambah satu - PAS dan Umno - tidak semestinya bersamaan dua.


LIEW CHIN TONG ialah anggota Dewan Negara dan bekas timbalan menteri pertahanan. 

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS