Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Redzuan gesa henti politikkan isu letak jawatan, bantu PM hadapi Covid-19

Semalam nama Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mohd Redzuan Md Yusof menjadi sebutan ramai apabila diuar-uarkan bakal membuat sidang media berkaitan langkah politiknya.

Ketika suhu politik dalam negara kekal mencair, hari ini ahli parlimen yang dilantik oleh Muhyiddin Yassin sebagai menteri tugas-tugas khas itu menyampaikan pesanannya buat semua.

Kata Redzuan, semua pemimpin politik perlu menumpukan perhatian kepada usaha kerajaan menangani ancaman wabak Covid-19 dan tidak mempolitikkan isu peletakan jawatan beliau seperti yang disebut-sebut semalam.

“Saya gesa semua pemimpin politik berhenti mempolitikkan isu ini. Tumpukan usaha bersama dengan kerajaan hari ini.

“Benarkan Tan Sri Muhyiddin Yassin mengemudi negara ini untuk bebas daripada wabak Covid-19 dan tumpukan kepada membangunkan ekonomi,” katanya kepada Malaysiakini.

Semalam tersebar ura-ura akan berlaku perubahan kerajaan sekali lagi apabila sesetengah ahli parlimen dalam Perikatan Nasional akan menarik balik sokongan mereka kepada Muhyiddin.

Ada dua nama yang disebut-sebut akan memulakan langkah berkenaan, iaitu Redzuan dan Timbalan Menteri Kerja Raya, Shahruddin Md Salleh. Bagaimanapun hal itu tidak berlaku.

Redzuan tidak mengadakan sidang media, malah selepas berjam-jam pegawainya menafikan ahli parlimen Alor Gajah berkenaan bercadang untuk berjumpa wartawan.

Kenyataan itu menjelaskan Redzuan sedang menjalani kuarantin sendiri di rumah beliau.

Malam tadi pula tersebar klip video pendek menunjukkan Shahruddin mengadakan pertemuan dengan Mahathir di Ibu Pejabat Bersatu di Petaling Jaya.

Usaha Malaysiakini mendapatkan komen Shahruddin setakat ini belum membuahkan hasil.

Menurut Redzuan, beliau sudah menafikan akan meletak jawatan atau mengalih sokongannya daripada PN.

“Saya dah nafikan, cukuplah,” katanya.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

 

Lihat Komen
ADS