Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
Penduduk T'ganu boleh makan di restoran, warung mulai hari ini

Penduduk Terengganu kini dibenarkan makan dalam restoran, kedai makan dan warung mulai hari ini, kata Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak.

Beliau berkata semua premis makanan tersebut diberi kebenaran beroperasi mulai 7 pagi hingga 10 malam.

"Namun, pemilik premis perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan seperti mengamalkan jarak sosial, rekod nama dan nombor telefon (pelanggan) serta pembersihan untuk membasmi kuman peralatan di premis.

"Operasi kedai makan ini akan dipantau oleh pasukan penguat kuasa Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) daerah masing-masing yang tindakan akan diambil terhadap pemilik premis yang gagal mematuhi peraturan ditetapkan," katanya kepada pemberita di Kuala Terengganu, hari ini.

Beliau berkata kebenaran untuk makan di premis makanan itu untuk memudahkan rakyat Terengganu terutama golongan yang bekerja berikutan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi membendung penularan COVID-19.

Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan negeri akan membenarkan operasi pasar malam dan pasar tani di dua lokasi dalam masa terdekat ini untuk dijadikan projek perintis bagi menilai sejauh mana kesediaan peniaga dan pembeli mematuhi SOP yang ditetapkan.

"Kita cadang buat (pasar malam) di kawasan lapang di Stadium Gong Badak untuk mengelak kesesakan ...begitu juga dengan pasar tani di Hiliran, kita akan bincang dengan peniaga mengenai kaedah yang sesuai agar SOP dapat dipatuhi.

"Sekiranya SOP operasi pasar malam dan pasar tani di dua lokasi ini berjaya, barulah kita akan benarkan pasar malam dan pasar tani di daerah lain beroperasi," katanya yang turut menjelaskan semua PBT akan memilih lokasi sesuai yang akan diumumkan selepas 9 Jun depan.

- Bernama

Lihat Komen
ADS