Malaysiakini
BERITA

57 kes baru, 43 melibatkan warga asing

Diterbitkan
Dikemaskini 31 Mei 2020, 10:21 pagi

Malaysia mencatatkan 57 lagi kes Covid-19 baru, menjadikan jumlah keseluruhan kes jangkitan yang dicatatkan adalah sebanyak 7,819 kes.

Dalam sidang media hari ini, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah kes baru itu terdiri daripada 10 kes import dan 47 jangkitan tempatan.

Daripada 47 kes jangkitan tempatan, 43 kes melibatkan warga asing, dan hanya empat melibatkan warga tempatan.

Kes baru melibatkan warga asing yang dikesan ialah 24 kes di Depoh Tahanan Imigresen (DTI) Sepang; 15 kes dikesan di Pahang yang merangkumi tiga kluster pekerja warga asing; satu kes dari Kluster Kampung Sungai Lui; satu kes Kluster Pudu; dan satu kes warga asing dalam proses pemindahan ke DTI; serta satu kes pekerja di Klang.

Kesemua mereka sudah diasingkan dan kini sedang menerima rawatan.

Sementara itu, 23 lagi pulih dari jangkitan Covid-19, menjadikan jumlah keseluruhan yang pulih dari jangkitan wabak itu ialah 6,353 atau 81.25 peratus daripada keseluruhan kes.

Ini menjadikan jumlah kes aktif Covid-19 di Malaysia ialah 1,351.

Noor Hisham juga hari ini memaklumkan tiada kematian baru dilaporkan, menjadikan jumlah korban akibat Covid-19 di Malaysia kekal sebanyak 115 kes.

Sembilan pesakit kini menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan dua daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.


 



Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.