Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Ketika Muhyiddin kerja keras mahu majoriti, Najib mahu PRU'
Diterbitkan:  May 31, 2020 6:10 PM
Dikemaskini: 10:54 AM

Pengerusi DAP Johor Liew Chin Tong mendakwa bekas perdana menteri Najib Razak kini sedang mendesak agar diadakan pilihan raya umum (PRU) baru kerana yakin gabungan Umno-PAS bakal memenangi PRU tersebut.

Kata Liew, ia bertentangan dengan tindakan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin yang mahu mengelak sebarang PRU dan sedang cuba untuk menarik lebih ramai ahli parlimen bagi mengukuhkan majoriti tipisnya di Dewan Rakyat.

“Sementara Muhyiddin sedang berusaha keras untuk menarik lebih ramai ahli parlimen Pakatan Harapan (PH), Najib mahu PRU.

“Beliau (Najib) tidak mahu Muhyiddin sebagai perdana menteri dan khabar angin terkini adalah Umno menggesa untuk pembubaran (parlimen) pada pertengahan tahun ini,” kata Liew dalam satu kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, bekas timbalan menteri pertahanan tersebut tidak menyertakan bukti bagi menyokong dakwaannya.

Liew turut mendakwa bahawa meskipun Muhyiddin dilihat sebagai tunggak utama dalam PN, Najib turut memainkan peranan di belakang tabir.

Jelasnya lagi, Najib kini menunggu peluang untuk menyingkirkan Muhyiddin.

Justeru, Liew berkata terdapat dua strategi yang diambil PN dalam menentang PH dan gabungannya, Warisan serta kem bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad di Bersatu.

Tak dapat tunggu lebih lama

Kata Liew lagi, Najib dan Muhyiddin masing-masing mahu memecah-belahkan sekutu PH bagi mendapat majoriti selesa di Dewan Rakyat.

Bagi mencapai perkara tersebut, Liew berkata mereka - Muhyiddin dan Najib- melancarkan propaganda dalam kalangan sekutu PH bagi menimbulkan rasa tidak percaya di antara pemimpin dan penyokong.

Bagaimanapun, kata Liew, ketika Muhyiddin sedang berusaha keras untuk menarik sokongan lebih ramai anggota parlimen PH, Najib mahu PRU diadakan segera.

Liew kemudian mendakwa Najib kini tidak dapat menunggu lebih lama untuk PRU diadakan kerana berdepan dengan pelbagai pertuduhan rasuah.

Muhyiddin juga, katanya, kesuntukan dalam mendapatkan sokongan sebelum persidangan parlimen pada Julai.

Liew turut menyorot bahawa pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang mengesyaki bahawa kerajaan akan cuba untuk menunda persidangan parlimen pada Julai dengan alasan membendung penularan Covid-19 sekiranya Muhyiddin masih tidak dapat meraih majoriti selesa.

“Bagaimanapun, perdana menteri tidak boleh lari dari persidangan parlimen bagi Belanjawan 2021, (kerana) tanpa persidangan itu, kerajaan tidak mempunyai peruntukan untuk dibelanjakan tahun depan,” kata Liew lagi.

Liew juga berkata bahawa sekiranya Muhyiddin ingin meraih majoriti selesa di parlimen, Muhyiddin akan mahu melihat Najib dipenjara.

“Tidak mengapa sekiranya Muhyiddin tidak layak (sebagai perdana menteri), tetapi jika Najib ke penjara di bawah pengawasannya terhadap pertuduhan rasuah, kredibiliti politik Muhyiddin akan meningkat.

"Muhyiddin juga dapat mengatakan bahawa dia tidak berkompromi dengan prinsipnya, setidaknya dalam kes 1MDB," kata Liew.

Kata Liew lagi, Muhyiddin juga sedang berusaha untuk mengelakkan PRU baru kerana sedar bahawa ahli Bersatu di bawahnya turut akan disingkirkan.

“Najib yang dicemari dengan skandal 1MDB yakin bahawa beliau boleh memenangi PRU dengan gabungan Umno-PAS (iaitu) Muafakat Nasional yang berlawan dengan Perikatan Nasional ditubuhkan Muhyiddin,” jelas Liew.

Kumpulan Najib, kata Liew, juga menunggu perpecahan sekutu PH kerana percaya bahawa Mahathir dan Presiden PKR Anwar Ibrahim tidak sehaluan.

Justeru, kata Liew, sekutu PH perlu berganding bahu secara teguh supaya rancangan Najib dapat digagalkan.

“Saya berasa yakin dengan rakyat Malaysia pertengahan (middle ground). Saya percaya jika mereka teguh, rancangan Najib dapat digagalkan.

“Gabungan kuasa Umno dan PAS tidak sekuat yang disangka. Satu tambah satu tidak semestinya bersamaan dengan dua.

“Situasi masih keruh sekarang tetapi jika sekutu PH bersatu, kita bakal mempunyai harapan,” kata Liew.

Lihat Komen
ADS