Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Tiga kluser baru Covid-19 dikesan di Pahang membabitkan 15 kes, masing-masing di sebuah ladang, kilang papan, dan syarikat pembinaan, kata ketua pengarah kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah.

Katanya, tujuh daripada kes positif itu dikesan di ladang di Bera, enam kes pula dikesan di sebuah kilang papan di Maran, manakala dua lagi kes dikesan di sebuah syarikat pembinaan di Maran.

“Tiga kluster yang dikesan di Pahang, adalah sebahagian daripada tindakan pejabat kesihatan iaitu untuk melaksanakan persampelan secara rawak.

“Jadi kita laksanakan persampelan dan kita dapati ada yang positif, dan bila ada yang positif, kita terus laksanakan pengesanan kes aktif (active case detection). Yang positif, kita asingkan, yang negatif, kita kuarantinkan untuk tempoh 14 hari,” katanya dalam sidang media harian hari ini.

Jelas Noor Hisham, Kesemua 15 kes yang dikesan dalam tiga kluster baru ini melibatkan pekerja warga asing.

Sementara itu, Noor Hisham berkata Kementerian Kesihatan (KKM) masih menyiasat punca kluster di empat depoh imigresen.

"Kami masih menyiasat punca, kami masih belum pasti. Mungkin itu adalah jangkitan dari luar, atau dibawa dari luar ke depoh, kita masih belum pasti,” katanya.

Mengulas isu berasingan, Noor Hisham berkata KKM telah melakukan pengesanan kontak rapat pegawai Wisma Putra yang disahkan positif Covid-19.

KKM telah menguji 46 individu, yang terdiri daripada ahli keluarga dan rakan sekerjanya, dan masih menunggu beberapa keputusan ujian, katanya.

Setakat ini, kata Noor Hisham, tidak ada kontak rapat yang didapati positif Covid-19.

Namun, mereka semua dikuarantin di rumah, sementara pegawai tersebut telah diasingkan di hospital.


 

Lihat Komen
ADS