Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bersatu Muar berpecah kerana penyingkiran Syed Saddiq
Diterbitkan:  May 31, 2020 6:51 PM
Dikemaskini: 10:51 AM

Tindakan Bersatu menggugurkan keanggotaan Syed Saddiq Abdul Rahman dari parti itu telah memecah-belahkan Bersatu bahagian Muar yang diwakilinya.

Sehari selepas Bersatu Muar mengeluarkan kenyataan menyokong Syed Saddiq, hari ini 12 dari jumlah 21 yang menandatangani kenyataan itu semalam kini mula menjauhkan diri.

“Kami tegas bahawa semua urusan parti mestilah berdasarkan perlembagaan parti. Maka oleh kerana parti telah mengumumkan bahawa keahlian Syed Saddiq telah gugur, kami akur dengan pandangan tersebut.

“Kami mengucapkan jutaan terima kasih atas segala jasa baik Syed Saddiq selama ini. Kami akan meneruskan agenda memperkasa parti dan kami akan berbincang dengan ibu pejabat parti mengenai langkah seterusnya,” katanya.

Kenyataan terbaharu itu dikeluarkan oleh Timbalan Ketua Bersatu Bahagian Muar, Basut Nin, Naib Ketua Bahagian Zainudin Sayuti dan Ketua Penerangan Bahagian Hasri Salim.

Penandatangan lain adalah AJK Bahagian Abu Bakar Al Sidek Ahmad, Jamil Mohd Noh, Edzhar Jasmary, Khairil Anuar Md Noh, Mohammad Hatta Mahfodz, Kamariah Baharom, Sailan Daim, Hisyam Othman dan Jasmi Awang.

Dua ahli yang didapati tidak menandatangani kenyataan asal menyokong Syed Saddiq juga ditambah, antaranya Pengerusi Tetap Bahagian Ahamad Atan dan timbalannya Shamsudin Abdul Rahman.

Untuk rekod, ahli pemimpin bahagian yang masih menyokong Syed Saddiq adalah setiausaha parti Taib Suhut, bendahari Afiqah Zulkifli, ketua Pemuda Riad Ahmad, ketua Srikandi Zarina Hasshim dan AJK Noraini Yahya, Zaid Hasshim, Adli Othman, Aluwi Abu Bakar dan Nazri Ghani.

Pada Khamis (28 Mei) lalu, Setiausaha Kerja Bersatu, Muhammad Suhaimi Yahya telah mengeluarkan surat kepada lima anggota parlimen termasuk Syed Saddiq yang menyatakan bahawa keahlian parti mereka telah gugur kerana didapati duduk di kerusi pembangkang pada persidangan Parlimen 18 Mei lalu.

Ahli Parlimen yang lain yang dikatakan digugurkan keahlian ialah Dr Mahathir Mohamad (Langkawi), Mukhriz Mahathir (Jerlun), Amiruddin Hamzah (Kubang Pasu) dan Maszlee Malik (Simpang Renggam).

Suhaimi turut merujuk fasal 10.2.2 dan fasal 10.2.3 dalam perlembagaan Bersatu.

Peruntukan 10.2.2 dan 10.2.3 dalam Perlembagaan Bersatu menjelaskan seseorang ahli boleh dipecat sekiranya mereka "mengisytiharkan keluar daripada parti" dan "menyertai atau menjadi ahli mana-mana parti politik lain di negara ini".

Untuk rekod, kelima-lima anggota parlimen tersebut tidak memaklumkan meninggalkan Bersatu atau menyertai mana-mana parti politik namun berkeras bahawa Bersatu seharusnya bersama Pakatan Harapan (PH) dan bukan Perikatan Nasional (PN).

Mahathir sebelum ini menolak pengguguran keanggotaan tersebut dengan menjelaskan bahawa Suhaimi tidak mempunyai kuasa membuat keputusan itu, dan seterusnya memecat Suhaimi dari jawatan itu.

Lihat Komen
ADS