Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Rosol anggap tindakan Dr M 'di luar kewarasan biasa'
Diterbitkan:  May 31, 2020 8:12 PM
Dikemaskini: 12:39 PM

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Rosol Wahid, menganggap tindakan Dr Mahathir Mohamad dan empat ahli parlimen Bersatu memihak pembangkang adalah tindakan yang "luar dari kewarasan biasa".

Bercakap kepada media di Kuala Terengganu hari ini, Rosol juga berkata, ahli politik yang menyebelahi pembangkang sudah melakukan 'dosa besar' yang tidak boleh dimaafkan.

Di pihak orang awam pula bekas exco kerajaan BN Terengganu itu juga mendakwa ramai menyatakan rasa penentangan mereka terhadap Mahathir dan empat ahli parlimen lain itu.

"Ini suatu yang malang terutama bagi seorang negarawan yang kita hormat dan banyak berjasa kepada negara yang mengambil tindakan yang saya rasa di luar kewarasan biasa," katanya seperti dipetik BH Online hari ini.

Rosol yang juga ketua Bersatu Hulu Terengganu diminta mengulas status Mahathir, Mukhriz Mahathir, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Dr Maszlee Malik dan Amiruddin Hamzah yang didakwa terlucut keanggotaan mereka dalam parti kerana duduk bersama pembangkang semasa sidang parlimen baru-baru ini.

Mahathir merupakan seorang daripada ahli politik yang mengemudi Bersatu memperoleh mandat rakyat untuk menjadi kerajaan menggantikan BN pada Mei 2018. Beliau bertanding di Langkawi, manakala Mukhriz merupakan ahli parlimen Jerlun.

Maszle dan Amiruddin pula masing-masing memenangi kerusi parlimen Simpang Renggam dan Kubang Pasu.

Sertai Bersatu pada Feb

Langkah Sheraton menyaksikan Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin, membawa parti itu bekerjasama dengan BN serta PAS untuk membentuk kerajaan Perikatan Nasional.

Kecuali Bersatu, BN dan PAS tidak mendapat mandat daripada rakyat untuk menjadi kerajaan. Muhyiddin sendiri pada 27 Mac lalu mengakui PN bukanlah kerajaan yang dipilih oleh rakyat.

Rosol berkata "kesalahan" Mahathir dan empat lagi ahli parlimen terbabit tidak boleh dimaafkan. Justeru beliau menyeru ahli parlimen berkenaan tidak mementingkan diri sendiri.

"Bagi yang berparti dan menyebelahi pembangkang, ia adalah suatu 'dosa besar' yang tidak boleh dimaafkan," katanya.

Untuk rekod Rosol merupakan salah seorang pemimpin kanan Umno dan pernah menjadi exco Terengganu selepas memenang kerusi Dewan Undangan Negeri Ajil selama beberapa penggal.

Pada PRU ke-14 lalu beliau bertanding sebagai calon BN di Hulu Terengganu dan memenangi kerusi berkenaan dengan mengalahkan pengerusi Bersatu negeri terbabit, Razali Idris, serta calon PAS, Muhyidin Abdul Rashid.

Pada 12 Feb 2019 beliau kemudian menyertai Bersatu bersama lima ahli parlimen Umno lain iaitu Hamzah Zainudin (Larut), Dr Abdul Latiff Ahmad (Mersing), Shabudin Yahaya (Tasik Gelugor), Mohamad Fasiah Mohd Fakeh (Sabak Bernam) dan Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah).

Rosol kemudian dilantik menjadi timbalan menteri selepas kerajaan PN dibentuk.

Lihat Komen
ADS