Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Rakyat K'tan dilayan seperti isteri tua, rakyat Kedah isteri muda'
Diterbitkan:  Jun 1, 2020 10:05 AM
Dikemaskini: 2:05 AM

Pengerusi Biro Alam Sekitar Amanah Raja Kamarul Bahrin Shah mempersoalkan layanan kerajaan Perikatan Nasional (PN) dalam mengangani isu air antara dua negeri di bawah pimpinan PAS iaitu Kedah dan Kelantan, yang didakwanya berat sebelah.

Beliau berkata masalah air di Kelantan masih berlaku walaupun menteri alam sekitar dan air, Tuan Ibrahim Tuan Man merupakan ahli parlimen di Kelantan.

Pada masa yang sama, katanya rakyat Kedah di bawah kerajaan PAS yang baru diberi layanan istimewa.

“Rakyat Kelantan yang masih menerima hanya 'angin' dan air berwarna 'teh tarik' melalui paip air mereka selama puluhan tahun di Kelantan, masih menunggu bantuan bekalan air bersih.

“Saya berpendapat rakyat Kelantan merasa seolah olah mereka di layan seperti isteri tua PAS yang diabaikan yang tetap wala' taat setia , sementara 'isteri muda' Kedah, diberi keistimewaan layanan luar biasa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Tuan Ibrahim berkata kerajaan persekutuan dengan kerjasama baik kerajaan negeri akan menaik taraf infrastruktur air sedia ada di Langkawi yang kini berhadapan gangguan bekalan air apabila saluran paip dari tanah besar ke pulau itu bocor sepanjang tiga kilometer.

Beliau berkata peruntukan RM600 juta disediakan untuk membaik pulih paip berkenaan selain kerja membesarkan takungan air di pulau tersebut.

Raja Kamarul Bahrin turut mempertikaikan kenyataan Tuan Ibrahim yang menyatakan usaha untuk menyelesaikan bekalan air di Kedah menjadi keutamaan PN diumumkan beberapa hari selepas isu kontroversi pembalakan dan isu alam sekitar oleh menteri besar Kedah.

“Adakah secara kebetulan ini berlaku seminggu selepas kontroversi hasrat MB Kedah yang bercadang membayar lebih dari RM1 billion kepada tauke balak di Kedah dan juga menimbang kelulusan kawasan projek pembalakan kontroversi Ulu Muda?

“Ia melibatkan kontroversi isu alam sekitar dan bekalan air. Inilah yang menjadi tanda tanya orang ramai,” kata Raja Bahrin.

Untuk rekod, pada 26 Mei lalu kerajaan negeri Kedah sedia mempertimbang membuka semula konsesi balak untuk mengelakkan tuntutan pampasan hampir RM1 bilion yang dikemukakan syarikat pembalakan.

Raja Kamarul berkata lagi, beliau pasti bahawa rakyat Kelantan tertanya-tanya berapa lama lagi mereka harus menunggu untuk mendapatkan penyelesaian air di negeri itu.

“Puluhan tahun rakyat Kelantan setia menunggu di bawah kerajaan PAS tetapi masalah air dan alam sekitar masih berlarutan.

“Baru dua minggu PAS menerajui kerajaan Kedah, projek air RM600 juta telah segera di luluskan untuk pulau pelancongan Langkawi sementara Kelantan masih menunggu,” katanya. 

Lihat Komen
ADS