Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Usaha menyelesaikan masalah bekalan air di Kedah menjadi antara keutamaan kerajaan di bawah pimpinan Perikatan Nasional (PN) untuk memastikan kesejahteraan dan kebajikan rakyat sentiasa terjamin dalam mendapatkan kemudahan itu.

Menteri Alam Sekitar dan Air Tuan Ibrahim Tuan Man berkata untuk itu kerajaan persekutuan dengan kerjasama baik kerajaan negeri akan menaik taraf infrastruktur air sedia ada di Langkawi yang kini berhadapan gangguan bekalan air apabila saluran paip dari tanah besar ke pulau itu bocor sepanjang tiga kilometer.

Beliau berkata peruntukan RM600 juta disediakan untuk membaik pulih paip berkenaan selain kerja membesarkan takungan air di pulau tersebut.

Projek itu katanya dijangka bermula pada suku pertama tahun hadapan.

"Dengan kerjasama baik daripada kerajaan negeri, mengikut apa kita rancangkan ini, (dalam tempoh) sehingga 2040 nanti, Langkawi tidak akan ada masalah air," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat berkaitan pembekalan air dan alam sekitar negeri ini di Wisma Darul Aman di Alor Setar hari ini.

Turut serta Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor. Ia sempena lawatan kerja sehari Tuan Ibrahim ke Kedah.

Sementara itu, Tuan Ibrahim berkata kerjasama baik sedia ada antara kerajaan persekutuan dengan Kedah akan dipertingkatkan lagi terutamanya dalam hal berkaitan penstrukturan semula industri perkhidmatan bekalan air dan pembangunan infrastruktur air baharu serta pengurangan air tidak berhasil.

"Usaha menaik taraf infrastruktur air sedia ada serta kesiapsiagaan menghadapi musim kering dan jerebu juga dibincangkan bersama dalam pertemuan hari ini," katanya.

Dalam pada itu, Tuan Ibrahim berkata kerja menaik taraf empat loji rawatan air (LRA) iaitu Bukit Selambau, Sungai Limau, Jenun Baru dan Lubuk Buntar Lama di Kedah yang telah pun diberikan tender dijangka siap sepenuhnya pada 2022.

"Namun, LRA Bukit Selambau mungkin akan siap lebih awal sebab kerja-kerja menaik taraf loji rawatan air ini telah pun bermula awal, manakala satu lagi (kerja naik taraf) LRA Pelubang masih belum diberikan tender," katanya.

- Bernama


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS