Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Sekadar jumpa 'pejuang, bapa dan negarawan' - Shahruddin
Diterbitkan:  Jun 1, 2020 2:38 PM
Dikemaskini: 6:38 AM

Pejuang, bapa dan negarawan - itu antara istilah yang digunakan Timbalan Menteri Kerja Raya, Dr Shahruddin Md Salleh, kepada bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.

Shahruddin berkata demikian semasa mengulas pertemuan beliau dengan Mahathir di Ibu Pejabat Bersatu di Petaling Jaya baru-baru ini.

Seperti dipetik Harian Metro, Shahruddin berkata kehadirannya ke ibu pejabat parti terbabit baru-baru ini dibuat kerana sayangkan pertubuhan berkenaan.

"Baguslah tu, jumpa pengasas, pejuang, bapa dan negarawan.

"Kami sama-sama susah, berkempen ketika lawan BN dulu," katanya di Kuala Lumpur semalam.

Shahruddin merupakan bekas setiausaha politik Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin suatu ketika dulu dan berkhidmat sebagai timbalan menteri Wilayah Persekutuan semasa era pentadbiran Pakatan Harapan (PH).

Pada peringkat awal penubuhan Bersatu dulu beliau juga pernah dilantik menjadi setiausaha agung parti berkenaan.

Semua ahli parti penting

Ketika pertikaian dalaman Bersatu - di antara Mahathir dan Muhyiddin semakin memuncak nama Shahruddin menjadi sebutan beberapa hari lalu dan dikaitkan dengan peralihan sokongan terhadap kerajaan.

Selain Shahruddin, seorang lagi pemimpin Bersatu yang dikaitkan dengan langkah itu ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohd Redzuan Md Yusof.

Mohd Redzuan disebut-sebut akan meletak jawatan pada 29 Mei lalu namun beliau kemudian membuat penafian.

Untuk rekod Bersatu menganggap Mahathir - bersama empat ahli parlimen yang lain - bukan lagi anggota parti itu kerana tergugur secara automatik baru-baru ini.

Kedua-dua mereka dilaporkan bertemu Mahathir di ibu pejabat parti itu pada hari berkenaan.

Shahruddin berkata pertemuan beliau denga Mahathir adalah perjumpaan biasa membabitkan anggota parti dan pengasas Bersatu.

"Semua ahli Bersatu adalah penting," katanya.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

Lihat Komen
ADS