Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pihak pendakwaan gagal buktikan Najib kawal dana SRC, kata peguam bela

Pihak pendakwaan gagal membuktikan bahawa Najib Razak mempunyai kawalan untuk memindahkan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd (SRC) ke akaunnya, kata pasukan pembelaan bekas perdana menteri itu hari ini.

Bercakap semasa menggulung hujah pembelaan, Harvinderjit Singh berkata kes pendakwaan kini bergantung kepada jawapan yang diperoleh daripada tertuduh semasa perbicaraan di peringkat pembelaan.

Harvinderjit memberitahu mahkamah, hal itu berpunca daripada keputusan prima facie hakim, Mohd Nazlan Mohd Ghazali, terhadap Najib yang mengarahkan tertuduh membela diri.

Peguam itu menyatakan kes utama pendakwaan bahawa Najib didakwa mengawal dana dan turut bersekongkol dengan ahli perniagaan buruan polis, Jho Low; Ketua Pegawai Eksekutif SRC; Nik Faisal Ariff Kamil, dan setiausaha sulit Najib ketika itu, Azlin Alias, dalam pemindahan wang tersebut.

“Namun, tuduhannya adalah bahawa Najib (didakwa) melakukan CBT (pecah amanah) sebanyak RM42 juta. Tetapi tuduhan tersebut tidak menyatakan berlaku konspirasi.

"Maka apa yang terjadi adalah pihak pendakwa menyesuaikan kes mereka," kata Harvinderjit.

Peguam itu menambah, hal itu diperkuatkan oleh Seksyen 257 Kanun Prosedur Jenayah yang menyatakan bahawa sekiranya mahkamah memerintahkan seorang tertuduh membela diri, dia perlu dirujuk kepada perkara utama kes pendakwaan yang dikenakan ke atasnya.

Harvinderjit Singh

Katanya sepanjang tempoh prosiding pembelaan berlangsung, pihak pendakwaan tidak dapat mengemukakan bukti baru melalui jawaban yang diperoleh dari pemeriksaan balas terhadap Najib.

Harvinderjit selanjutnya berkata pihak pembelaan sejak awal lagi berpendapat keseluruhan peranan Jho Low adalah melaksanakan subfungsi berhubung dengan pemindahan wang jutaan ringgit masuk dan keluar dari akaun tertuduh tanpa pengetahuannya.

Prosiding akan disambung sekitar jam 2.30 petang ini selepas rehat makan tengah hari, dengan Harvinderjit dijangka akan meneruskan hujahnya.

Hadapi tujuh tuduhan

Ketika ditemui selepas prosiding, Harvinderjit berkata mereka berpendapat pihak pendakwaan gagal membuktikan pembabitaan tujuh tuduhan penyalahgunaan kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram terhadap Najib.

Peguam itu mendakwa kes pendakwaan sekarang telah menyimpang daripada keputusan Nazlan yang memerintahkan Najib memasukkan pembelaannya membabitkan tujuh tuduhan itu.

Harvinderjit mengatakan pihak pendakwaan menyimpang dari sudut hukum dalam keputusan prima facie, bahkan daripada keterangan saksi pendakwaan mereka seperti pegawai penyiasat kes itu, Penolong Kanan Pesuruhjaya Bahagian Operasi Khas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Rosli Hussain.

Hari ini adalah hari pertama pasukan pembelaan Najib membuat penghujahan lisan, setelah pihak pembelaan menutup kesnya pada 11 Mac.

Nazlan sebelum ini menetapkan tiga hari mulai hari ini untuk mendengar penggulungan lisan pihak pembelaan dan pihak pendakwaan.

Pada 11 Mac lalu, pasukan peguam bela Najib selesai memanggil 19 saksi dalam perbicaraan yang berlangsung selama 33 hari sejak 3 Dis tahun lalu.

Perbicaraan bermula pada 3 April tahun lalu, dengan pihak pendakwaan telah memanggil 57 saksi.

Pada 11 Nov tahun lalu, mahkamah memerintahkan Najib untuk membela diri atas tujuh tuduhan berkaitan dengan penyelewengan dana SRC sebanyak RM42 juta, iaitu tiga tuduhan pecah amanah, tiga tuduhan pengubahan wang haram, dan satu tuduhan penyalahgunaan kuasa.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS