Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad perlu bersikap bijaksana untuk menyelesaikan perbalahannya dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, kata ketua Umno Bahagian Johor Bharu, Datuk Shahrir Samad.

Menurut beliau sebarang usaha untuk 'membuang yang keruh, ambil yang jernih' tidak akan berjaya jika perkara-perkara yang 'mengeruhkan' hubungan kedua-dua pemimpin itu tidak diselesaikan dengan baik.

" Apa dia yang mengeruhkan hubungan mereka berdua? Bagi saya bukannya isu jambatan, Proton atau AP tetapi kata-kata yang bersifat politik dan peribadi yang ditujukan kepada Pak Lah."

" Kata-kata yang menganggap Pak Lah menikam dari belakang dan bukan pilihan pertama sebagai Perdana Menteri, kononnya Pak Lah tak layak jadi PM kalau bukan atas ehsan Dr. Mahathir.... ini yang mengeruhkan keadaan," ujarnya.

Shahrir menekankan, Dr. Mahathir perlu datang ke depan untuk 'menjernih' kenyataan-kenyataannya itu kerana perkara inilah akan mencacatkan hubungan kedua-dua pemimpin kelak.

" Kalau Dr. Mahathir rasa dia terlanjur, dia patut datang ke depan menyelesaikannya. Saya rasa tak ada masalah bagi pihak Pak Lah. Pak Lah pun selama ini hanya membisu sahaja"

" Dr. Mahathir jauh lebih tua, beliau sepatutnya lebih bijaksana," tgeas ahli Parlimen Johor Bharu itu lagi.

Shahrir mengulas sidang pengarang muka depan sebuah akhbar tempatan hari ini yang mahu Dr. Mahathir dan Abdullah 'membuang yang keruh, ambil yang jernuh' demi kebaikan orang Melayu dan negara.

Ketua Umno bahagian Sabak Bernam, Datuk Raja Idris Raja Ahmad pula berkata, kedua-dua pemimpin harus segera 'membuang yang keruh, ambil yang jernih' demi kepentingan parti dan bangsa.

Menurut beliau rakyat tidak mahu kehilangan kedua-dua pemimpin berkenaan kerana kedua-dua mereka mempunya keistimewaan dan kelebihan masing-masing.

" Kami sayangkan kedua-dua mereka. Tun Dr. Mahathir telah banyak berjasa kepada negara. Pak Lah pula telah mendapat mandat besar dari rakyat untuk menerajui negara dan menjadi Perdana Menteri."

" Kami menyokong Pak Lah sebagaimana kami menyokong kepimpinan Tun Dr. Mahathir dulu. Sudah tiba masanya segala perselisihan faham diketepikan," katanya.

Sementara itu, Ketua Wanita Umno Bahagian Kubang Pasu, Badrisah Saad pula berkata, ahli Umno di kawasan itu menyokong penuh kepimpinan Abdullah yang disifatkan sangat bertolenrasi dan berhemah.

Bagaimanapun, katanya, jasa dan pengorbanan Dr Mahathir sebagai pemimpin besar negara tidak pernah dilupakan walaupun beliau kini sudah bersara.

"Kami tidak pernah memandang serong terhadap Tun Dr Mahathir dan tetap memberi sambutan terhadap sebarang programnya di Kubang Pasu," katanya sambil menambah penduduk tempatan sangat menyanjung tinggi kepada bekas Perdana Menteri itu.

Badrisah berkata, semua pihak harus menganggap teguran dan kritikan Dr Mahathir seperti `bapa menegur anak.'