Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pesara PBT rugi lebih RM680,000 ditipu sindiket Macau Scam

Seorang pesara pihak berkuasa tempatan (PBT) di Pulau Pinang kerugian RM682,000 selepas ditipu sindiket Macau Scam yang mendakwa terdapat pendaftaran judi dalam talian haram dibuat atas nama wanita itu baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara ACP Noorzainy Mohd Noor berkata, mangsa berusia 69 tahun itu membuat laporan polis mengenai kejadian itu hari ini.

Katanya aduan dibuat selepas wanita terbabit mendapati wang dalam akaunnya berkurangan sebanyak RM682,000 selepas dia mengikut arahan individu yang kononnya pegawai dari Bank Negara yang cuba membantu menyelesaikan kes tersebut.

“Menurut mangsa, pada mulanya dia menerima panggilan pada awal Mac lalu daripada seorang lelaki memperkenalkan diri sebagai pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang dan berpangkat ACP.

Lelaki terbabit memaklumkan wanita tersebut terlibat dalam jenayah, kerana kononnya terdapat pendaftaran judi dalam talian haram atas namanya.

“Panggilan itu kemudiannya disambungkan kepada orang lain yang mendakwa dia sebagai pegawai penyiasat kes berpangkat sarjan.

"Mangsa kemudian memaklumkan butiran mangsa dan memintanya berurusan dengan orang lain yang didakwa sebagai pegawai Bank Negara yang akan menghubungi mangsa dalam masa terdekat bagi memberi penjelasan serta bantuan,” katanya dalam kenyataan di Kepala Batas malam ini.

Kata Noorzainy, wanita itu memaklumkan dia dihubungi seorang lelaki yang mendakwa pegawai Bank Negara dan meminta mangsa memindahkan semua wang simpanannya ke dalam satu akaun sahaja dengan alasan bagi memudahkan urusan siasatan.

Noorzainy berkata, lelaki itu turut memberitahu mangsa bahawa kes berkenaan perlu diselesaikan segera dan mengugut sekiranya tidak berbuat demikian, dia akan ditangkap serta direman.

Kerana takut ditangkap, katanya, wanita terbabit mengikut saja arahan suspek termasuk memberi laporan pergerakannya setiap hari menerusi panggilan telefon serta memberikan nombor TAC yang dihantar ke telefon bimbitnya kepada sindiket tersebut yang berlarutan hingga 27 Mei lepas.

“Mangsa kemudian berasa pelik kerana sejak 28 Mei hingga semalam, tiada lagi panggilan diterima seperti kebiasaan, sebelum dia menghubungi pihak bank untuk bertanyakan baki wang dalam akaunnya dan dimaklumkan telah dipindahkan ke akaun lain setiap hari sedikit demi sedikit,” katanya.

Menurutnya, mangsa cuba menghubungi lelaki itu namun gagal, malah nombor tersebut juga tidak boleh dihubungi.

Mangsa kemudian membuat laporan polis berhubung kejadian berkenaan hari ini.

Noorzainy berkata, polis sedang menjalankan siasatan lanjut untuk mengesan sindiket tersebut, termasuk pemilik akaun yang digunakan suspek.

Katanya kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

“Pihak polis menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan muslihat sindiket, dan jangan sesekali mudah panik dengan mengikut arahan yang diberikan oleh pemanggil yang tidak dikenali, sebaliknya hubungi pihak polis atau organisasi yang terlibat, untuk pengesahan,” katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS