Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kesahihan 'derma Arab' tak relevan, kuncinya apa Najib percaya - Pembelaan

KES SRC NAJIB | Pasukan pembelaan Najib Razak hari ini berhujah dalam kes rasuah SRC International Sdn Bhd bernilai RM42 juta bahawa persoalan sama ada wang yang diterima oleh bekas perdana menteri itu adalah derma Arab yang sahih atau tidak adalah tidak relevan.

Peguam bela Harvinder Singh berkata perkara penting adalah apa yang dipercayai oleh Najib sebagai benar.

"Ia kewujudan kepercayaan yang munasabah. Mereka (pihak pendakwaan) cuba berhujah bahawa sumbangan Arab itu tidak nyata sama sekali. Hal itu tidak relevan," katanya kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Mengemukakan hujah pembelaan, Harvinder berkata pihaknya tidak perlu membuktikan kesahihan surat-surat dikatakan daripada keluarga diraja Arab Saudi yang mengesahkan bahawa derma itu adalah sahih.

"Saya tidak perlu membuktikan surat itu sahih. Surat-surat itu wujud pada waktu material itu, diberikan kepada bank ... Kewujudannya tidak dipertikaikan.

"Kes saya bukan terletak pada kesahihan tetapi kewujudan (surat itu)," katanya kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Najib mendakwa dana berbilion-bilion ringgit yang diterima beliau ketika menjadi perdana menteri dan menteri kewangan di dalam akaun banknya merupakan derma daripada keluarga kerajaan Arab Saudi.

Bagaimanapun, pihak pendakwaan berkata wang itu berasal daripada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) termasuk RM42 juta yang dijejaki berpunca daripada SRC International Sdn Bhd, bekas anak syarikat pelaburan negara 1MDB dan kemudian menjadi entiti di bawah Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc).

Najib menghadapi perbicaraan berasingan yang melibatkan sejumlah RM2.28 bilion yang didakwa dijejaki berasal daripada 1MDB dan syarikat berkaitannya.

Harvinder mengambil maklum hujah pihak pendakwa bahawa pernyataan dikatakan oleh keluarga diraja mengesahkan derma itu tidak sahih tetapi mempersoalkan kenapa pasukan penyiasat tidak meneliti perkara tersebut.

Harvinderjit berkata kepercayaan tertuduh mengenai derma Arab itu diperkuat apabila berjuta-juta dolar AS mengalir ke dalam akaunnya dalam satu siri transaksi antara 2011 dan 2014.

Hari ini adalah hari ketiga pasukan pembelaan Najib membuat serahan lisan, setelah pihak pembelaan menutup kesnya pada 11 Mac.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali sebelumnya telah menetapkan tiga hari dari 1 Jun hingga ke hari ini untuk mendengar penggulungan lisan pihak pembelaan dan pihak pendakwaan.

Pada 11 Mac lalu, pasukan peguam bela Najib selesai memanggil 19 saksi dalam perbicaraan yang berlangsung selama 33 hari sejak 3 Dis tahun lalu.

Perbicaraan bermula pada 3 April tahun lalu, dengan pihak pendakwaan telah memanggil 57 saksi.

Pada 11 Nov tahun lalu, mahkamah memerintahkan Najib untuk membela diri atas tujuh tuduhan berkaitan dengan penyelewengan dana SRC sebanyak RM42 juta, iaitu tiga tuduhan pecah amanah, tiga tuduhan pengubahan wang haram, dan satu tuduhan penyalahgunaan kuasa.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS