Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Bekas menteri, timbalan menteri Warisan terajui GLC Sabah
Diterbitkan:  Jun 4, 2020 9:57 AM
Dikemaskini: 1:57 AM

Dua pemimpin Parti Warisan Sabah (Warisan) yang juga bekas menteri dan timbalan menteri dilantik menerajui syarikat berkaitan kerajaan (GLC) milik kerajaan negeri Sabah.

Menurut Astro Awani, bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Darell Leiking (gambar atas) dilantik sebagai Pengerusi Taman Industri Minyak dan Gas Sabah (Sogip).

Manakala, bekas Timbalan Menteri Dalam Negeri Mohd Azis Jamman pula dilantik sebagai Pengerusi Warisan Harta Sdn Bhd merupakan anak syarikat kerajaan negeri.

Ketua Menteri Sabah, Mohd Shafie Apdal mengesahkan pelantikan dua pemimpin Warisan itu bagi jawatan berkenaan.

Shafie menjelaskan pelantikan dua bekas menteri dan timbalan menteri itu dibuat dengan mengambil kira kemampuan serta pengalaman mereka.

“Saya tahu mereka berpengalaman dan berkelayakan, tetapi kita perlu cari yang lain juga yang mempunyai kelayakan dan tentukan di mana mereka boleh ditempatkan.

“Banyak GLC yang ada diketuai oleh bukan wakil rakyat. Kalau ada satu dua, saya akan tengok dahulu kelayakan, bukan sebab mereka YB,” katanya kepada media di Kota Kinabalu, semalam.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan aplikasi Sabah Trace, di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS) Kota Kinabalu.

Azis Jamman.

Sementara itu, ditanya sama ada pelantikan dua wakil rakyat itu dalam GLC bakal memberi pandangan negatif kerana sebelum ini bertegas untuk tidak melantik ahli politik dalam GLC.

Shafie berkata, ia tidak sepatutnya menjadi isu kerana sebahagian besar GLC di Sabah masih diterajui oleh bukan ahli politik.

"Ini bukan sebab saya dapat sokongan mereka, kerana saya tidak gunakan kedudukan sebagai satu cara raih sokongan,” katanya lagi.

Leking juga merupakan ahli parlimen Penampang sementara Azis adalah ahli parlimen Sepanggar.

Sebelum pilihan raya umum (PRU) ke-14, Shafie memberi gambaran bahawa wakil rakyat tidak akan dibenarkan menerajui GLC jika Warisan membentuk kerajaan negeri.

Lihat Komen
ADS