mk-logo
Berita
Tiada komplot guling Muhyiddin? Zahid bukan bodoh, kata Kadir
Diterbitkan:  Jun 4, 2020 1:29 PM
Dikemaskini: 5:29 AM

Anggota Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, A Kadir Jasin yakin Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi tidak sebegitu bodoh bodoh untuk mengakui bahawa dirinya dan bekas perdana menteri Najib Razak sedang bersekongkol untuk menjatuhkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

“Hanya orang yang sangat bodoh (maaf) atau tidak siuman yang akan mengakui bahawa dia sedang berkomplot.

“Ahmad Zahid mungkin tidak mempunyai IQ (setinggi) Ahmad Maslan atau CGPA 3.85, tetapi dia tidak bodoh untuk memberitahu seluruh dunia bahawa dia sedang merancang sesuatu.

“Sekiranya dia mengakui berkomplot menentang Muhyiddin, maka itu bukan lagi komplot. Ia menjadi rancangan tindakan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Kadir mengulas laporan media berhubung kenyataan Ahmad Zahid bahawa Umno sudah bersedia menghadapi pilihan raya umum ke-15 dan mereka tidak mempunyai sebarang plot untuk menggulingkan Muhyiddin.

Kesediaan itu dinyatakannya selepas menerima kunjungan Najib di kediamannya pada malam Selasa lalu.

Menulis di Facebook, beliau berkata, "Kami sudah siap siaga untuk PRU15. Adakah anda semua sudah bersedia bersama kami?"

Kenyataan itu di saat kemelut peringkat Persekutuan yang masih berterusan, dengan PH, Dr Mahathir Mohamad dan Warisan mendakwa memiliki majoriti untuk merebut kembali kuasa dari Perikatan Nasional (PN).

Mengulas tulisan itu, Kadir yang juga adalah bekas ketua pengarang kumpulan New Straits Times berkata, jika Ahmad Zahid merasakan Muhyiddin memerlukan mandat yang kuat, yang sekarang tidak dimilikinya, maka implikasinya adalah dia akan membantu beliau mendapatkannya.

“Ini akan menguatkan lagi kepercayaan kepada spekulasi bahawa Muhyiddin mungkin bergabung semula dengan Umno atau Bersatu mungkin diterima mennganggotai Muafakat Nasional, dan bahkan memimpin gabungan Umno-PAS,” katanya.

Menurut Kadir, sudah diketahui umum di kalangan Bersatu bahawa Muhyiddin, sebagai perdana menteri, dengan mudah boleh meninggalkan Bersatu dan membentuk parti baru.

Katanya, Muhyiddin sebagai sekutu yang sudah pun menguntungkan Umno dengan jawatan kabinet dan pelantikan GLC.

“Memandangkan kedua-dua Najib dan Ahmad Zahid mungkin didapati bersalah atas jenayah yang mana mereka sekarang sedang dibicarakan, mempunyai seorang PM yang mesra mungkin boleh membantu.

“Mungkin Najib dan Ahmad Zahid tidak bersekongkol untuk menjatuhkan Muhyiddin, tetapi yang lain dalam Umno ada rancangan mereka sendiri,” katanya lagi.

Lihat Komen
ADS