Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Najib jawab kritikan Yeoh isu cadang bubar parlimen
Diterbitkan:  Jun 4, 2020 3:22 PM
Dikemaskini: 7:22 AM

Bekas perdana menteri Najib Razak tampil membidas kembali Hannah Yeoh yang mengkritiknya berhubung cadangan pembubaran parlimen.

Dalam satu hantaran di Facebooknya, Najib mengingatkan anggota Parlimen Segambut itu bahawa beliau mencadangkan pembubaran Parlimen jika Pakatan Harapan (PH) sibuk dengan usaha menumbangkan kerajaan Perikatan Nasional (PN)

"Dengar baik-baik Hannah (Yeoh) dan PH. Saya cuma cadangkan bubarkan parlimen untuk kembalikan mandat pada rakyat melalui pilihan raya jika PH terus merebut kuasa dengan cubaan-cubaan berteruskan untuk tumbangkan kerajaan.

"Mendapat mandat baru dari rakyat agar kerajaan lebih kukuh dan stabil untuk melawan krisis ekonomi Covid-19.

"Cara paling adil bagi semua dan paling sesuai untuk selesaikan kemelut politik. Apa susah nak faham, Hannah?" tulis Najib.

Sebelum itu, Yeoh mengkritik bekas perdana menteri berkenaan yang bercakap soal pilihan raya umum (PRU) ketika negara masih dilanda krisis ekonomi dan kesihatan ekoran Covid-19.

Yeoh merujuk laporan media berkenaan kenyataan yang dibuat bekas pengerusi Umno itu yang berkata ada “kemungkinan yang tinggi” PRU diadakan jika situasi politik negara terus bergolak.

“Ketika sekolah masih belum lagi dibuka, kedai gunting rambut hilang pendapatan selama tiga bulan dan sebahagian rakyat diberhentikan kerja, pemimpin Umno ini hanya sibuk mencadangkan untuk diadakan pilihan raya.

"Beliau malah sampai peringkat mencadangkan kepada kementerian kesihatan dan suruhanjaya pilihan raya untuk segera merangka SOP untuk menghadapi pilihan raya.

“Adalah sesuatu yang tidak boleh diterima akal apabila cadangan seperti itu datang daripada Najib……Ini adalah bukti paling jelas betapa Najib telah meletakkan kepentingan politiknya mengatasi kepentingan negara," kata Yeoh.

Dalam satu kenyataan di akaun Facebook semalam, Najib meminta Kementerian Kesihatan (KKM) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk mula merangka prosedur operasi standard (SOP) sekiranya pilihan raya diadakan.

Bagaimanapun, dalam kenyataan sama, Najib juga mengatakan bahawa pilihan raya ketika ini akan memberi risiko tinggi kepada kesihatan rakyat dan ekonomi negara.

Mengulas lanjut kritikan Yeoh itu lagi, Najib dalam kenyataan terbarunya menyindir Yeoh bahawa yang menjatuhkan kerajaan PH adalah disebabkan oleh pemimpin PH sendiri.

Malah katanya, PH juga sibuk untuk menumbangkan kerajaan PN ketika negara berdepan dengan wabak Covid-19.

"Yang usulkan undi tidak percaya dalam parlimen untuk jatuhkan kerajaan baru? PH dan Warisan.

"Yang bermesyuarat minggu lepas untuk tumbangkan kerajan PN? Majlis presiden PH.

"Yang dituduh letak kepentingan politik melebihi negara pada masa Covid? Najib pulak," sindir bekas presiden Umno itu.

Lihat Komen
ADS