Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kami keluar mesyuarat MPT sebab tak puas hati - Pemimpin Bersatu

Empat pemimpin Bersatu, yang dipercayai berpihak kepada Dr Mahathir Mohamad, bertindak keluar dari mesyuarat parti yang sedang berlangsung dan dipengerusikan oleh Presidennya Muhyiddin Yassin malam tadi.

Ia dikatakan berpunca daripada rasa tidak puas hati pemimpin berkenaan terhadap perbincangan yang dibangkitkan di dalam mesyuarat.

Ketua Penerangan Pemuda Bersatu Ulya Aqamah Husamuddin berkata ini kerana apa-apa juga keputusan yang dibuat dalam mesyuarat itu tidak sah.

“Kami berempat keluar sebab kami protes. Dua perkara kami tak boleh terima. Pertama mereka mereka hendak formalise pelucutan jawatan Tun (Mahathir).

“Kedua, nak formalise-kan gabungan PN, bermaksud sebelum ini belum formal. Maknanya fasal yang mereka guna untuk pelucutan jawatan Tun (Mahathir) tak boleh pakai.

“Kami semua nyatakan pandangan kami bahawa ini tak ikut perlembagaan parti dan nampaknya kami tak boleh menjadi sebahagian dari mesyuarat yang akan tentukan samada kita secara rasminya lucutkan jawatan Tun (Mahathir) secara rasminya tubuhkan PN sedangkan Bersatu tertubuh atas akar umbi,” katanya.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin tiba di Rumah Persatuan Alumni UM malam tadi.

Jelas Ulya, fasal 12 Perlembangan Bersatu turut menyatakan segala keputusan dasar adalah melalui mesyuarat agung atau mesyuarat agung parti.

“Semua MPT adalah ‘caretaker’ sebab bila hantar borang pencalonan, maka telah dibubarkan.

"Semua jawatankuasa pusat dibubarkan, yang ada ‘caretaker’ seperti ‘caretaker government’, tak boleh buat keputusan dasar.

“Pemilihan menjadi tanda tanya sebab berkait rapat dengan Covid-19. Kita ambil iktibar dan nasihat perdana menteri supaya fokus tangani Covid-19,” katanya.

Beliau bagaimanapun menafikan kumpulan itu mewakili Dr Mahathir Mohamad.

Terdahulu, Ulya bersama tiga anggota MPT Bersatu bertindak meninggalkan mesyuarat parti itu malam ini, selepas hampir dua jam mesyuarat berlangsung.

Mereka ialah Abu Bakar Yahya, Akramsyah Sanusi dan Tariq Ismail.

Dalam perkembangan berkaitan, Akramsyah ketika mengulas pelucutan jawatannya semalam berkata, parti telah menarik balik keputusan tersebut pada mesyuarat MPT malam tadi, namun beliau enggan tidak mengulas lanjut berhubung perkara itu.

Bagaimanapun, Pengerusi Bersatu Perak, Ahmad Faizal Azumu (gambar, atas) ketika ditemui selepas mesyuarat mendakwa empat pemimpin Bersatu itu mungkin mempunyai urusan lain.

“Mesyuarat berjalan dengan cukup baik dan Alhamdulillah. Semua bagi sokongan kepada perdana menteri, presiden merangkap parti. 

"Suasana mesyuarat baik. Mereka yang keluar tadi mungkin ada hal,” katanya ketika diminta mengulas tindakan ahli MPT yang tidak berpuas hati itu.

Faizal juga ketika ditanya menafikan mesyuarat malam ini ada membincangkan hubungan Bersatu dengan Umno.

“Tak bincang soal sertai Umno,” katanya ringkas.

Mesyuarat malam tadi diadakan selepas seminggu parti itu mengumumkan pelucutan keahlian Mahathir dan empat yang lain, iaitu Mukhriz Mahathir, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Amiruddin Hamzah dan Maszlee Malik secara automatik.

Lima pemimpin itu duduk di kerusi blok pembangkang pada persidangan Dewan Rakyat 18 Mei lepas.

Pada 28 Mei lalu, dilaporkan keahlian Pengerusi Bersatu yang dipertikaikan, Dr Mahathir Mohamad, Timbalan Presidennya, Mukhriz Mahathir dan tiga yang lain 'terhenti serta merta' daripada parti itu.

Berdasarkan surat yang dilihat Malaysiakini, kelima-lima mereka "dihentikan keahlian serta merta" atas alasan duduk di blok pembangkang semasa persidangan Dewan Rakyat pada 18 Mei lalu.

Surat berkenaan ditandatangani oleh setiausaha kerja Bersatu, Muhammad Suhaimi Yahya.

Untuk rekod, Suhaimi diketahui berpihak kepada Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin. Bagaimanapun, kem Mahathir tidak mengiktiraf Suhaimi dan telah memecatnya daripada jawatan itu pada minggu lalu.

Sebaliknya, Muhyiddin mendakwa beliau ialah pemangku pengerusi Bersatu yang sah dan bukannya Mahathir.

Sementara itu, Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainuddin yang ditemui pemberita selepas selesai mesyuarat MPT berkata segala keputusan parti itu malam ini akan dimaklumkan pada sidang medianya esok.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

 

Lihat Komen
ADS