Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Penjana: K'jaan digesa tubuh portal sehenti untuk golongan muda
Diterbitkan:  Jun 6, 2020 10:53 AM
Dikemaskini: 2:53 AM

Kerajaan digesa menubuhkan portal sehenti dalam talian untuk golongan muda agar mereka dapat mengakses semua bantuan yang disediakan di bawah rancangan pemulihan ekonomi jangka pendek yang dilancarkan semalam.

Presiden Majlis Belia Malaysia Jufitri Joha mencadangkan idea portal sehenti itu bersifat interaktif dan kurang formal kerana menurutnya golongan muda mungkin tidak suka melayari laman web rasmi kementerian.

"Kerajaan dapat memuat naik apa saja inisiatif (secara langsung atau tidak langsung yang ditujukan) bagi para belia di portal ini dengan cara yang kurang formal dan interaktif supaya mereka dapat mengakses dan memohon.

"Belia biasanya tidak begitu suka mengunjungi laman web rasmi kementerian," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Dia mencadangkan Kementerian Belia dan Sukan untuk menguruskan portal tersebut.

Sebahagian daripada inisiatif yang diumumkan dalam rancangan pemulihan ekonomi jangka pendek bernilai RM35 bilion semalam, yang digelar Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana), dapat secara langsung atau tidak langsung membantu golongan muda.

Kerajaan akan memperuntukkan RM2 bilion untuk meningkatkan kemahiran 200,000 penganggur dan belia.

Syarikat yang mengambil pelajar lepasan sekolah menengah atau graduan sebagai pelatih akan diberi subsidi RM600 sebulan setiap orang, meningkat daripada RM500 sebelum ini.

Jufitri juga berkata terdapat keluhan daripada golongan muda yang tidak mendapat makluman mengenai status permohonan mereka.

"Sekurang-kurangnya maklumkan permohonan diterima, jika tak dapat bagi alasan supaya mereka boleh perbaiki," katanya.

Lihat Komen
ADS