Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bersatu Simpang Renggam tolak lantikan Muhyiddin gantikan Maszlee
Diterbitkan:  Jun 6, 2020 10:22 PM
Dikemaskini: 2:22 PM

Bersatu bahagian Simpang Renggam hari ini menolak pelantikan pemangku pengerusi bahagian oleh Presiden, Muhyiddin Yassin bagi menggantikan Maszlee Malik.

Kenyataan ditandatangan oleh 19 AJK bahagian itu berkata penyampaian watikah kepada Timbalan Pengerusi bahagian, A’zman Mohd Umar sebagai pemangku yang dilapor pada 5 Jun lalu adalah tidak sah.

Ini kerana menurut mereka, Dr Maszlee adalah ketua bahagian yang sah mengikut perlembagaan parti.

“Beliau (Maszlee) bukanlah ketua bahagian penaja, tetapi telah menang dalam pemilihan ketua bahagian yang dilakukan oleh Jawatankuasa Pemilihan Parti sendiri,” kata mereka.

Tambahnya,  Maszlee juga masih ahli yang sah kerana pemecatan beliau atau apa yang dikatakan terhenti keahlian serta merta adalah tidak sah kerana tidak berlandaskan perlembagaan parti.

Antara yang menandatangani kenyataan itu adalah Naib Pengerusi Bersatu bahagian Simpang Renggam,  Sidek Ariffin; Ketua Pemudanya, A Azri Hassan dan Ketua Wanitanya Faridah Jemali.

Bersatu sebelum ini mengumumkan Maszlee digugur keahlian bersama pengerusi yang dipertikai jawatannya, Dr Mahatir Mohamad dan tiga lain selepas duduk bersama pembangkang pada sidang Dewan Rakyat 18 Mei lalu.

Bersatu Simpang Renggam juga menyatakan taat setia kepada Maszlee untuk “mengembalikan maruah parti yang telah dirobek.”

“ Kami tidak akan sesekali membenarkan sebarang usaha untuk memecahbelahkan kesatuan kami akar umbi Bersatu Simpang Renggam,” kata mereka.

Bersatu kini berpecah kepada kem Muhyiddin yang menyokong Perikatan Nasional dan kem Mahathir yang menyokong Pakatan Harapan.

Lihat Komen
ADS