Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Polis tumpaskan sindiket palsukan ujian Covid-19 warga asing
Diterbitkan:  Jun 6, 2020 11:52 PM
Dikemaskini: 3:52 PM

Pihak polis berjaya menumpaskan sindiket pemalsuan dokumen ujian saringan Covid-19 susulan penahanan dua warganegara Bangladesh dalam serbuan berasingan di Jalan Alor, Kuala Lumpur, petang semalam.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Mazlan Lazim berkata, sindiket berkenaan beroperasi di kaunter kaki lima kedai di Jalan Alor dengan sasaran pelanggan terdiri daripada warganegara asing.

"Hasil siasatan awal mendapati sindiket ini menjalankan aktiviti penipuan dengan cara mengeluarkan dokumen keputusan ujian saringan Covid-19 yang negatif bagi warganegara asing.

"Kaunter yang beroperasi di kaki lima kedai di Jalan Alor telah beroperasi selama 1 hingga 2 minggu dengan setiap 1 dokumen keputusan ujian saringan Covid-19 dikenakan bayaran RM50," katanya dalam satu kenyataan.

Kedua-dua suspek bekerja dengan dua lelaki warga tempatan dengan anggaran gaji sebanyak RM1500 dan RM1700 sebulan.

Menurut Mazlan, kesemua tangkapan dan rampasan termasuk komputer riba dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi untuk tindakan lanjut.

Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 22 (d) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988, Seksyen 468 Kanun Keseksaan, Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1) (c) Akta Imigresen.

Mazlan berkata, polis memandang serius isu berkenaan dan tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang menyalahi undang-undang.

"Sikap tidak bertanggungjawab dan hanya mengutamakan keuntungan sebegini hanyalah membahayakan orang ramai dan menjejaskan usaha kerajaan untuk memutuskan rantaian jangkitan Covid-19," jelasnya.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh menyalurkannya dengan menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau menghubungi mana–mana balai polis berdekatan.

Lihat Komen
ADS