Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bilik RM1,350 di Langkawi dijual pada RM120
Diterbitkan:  Jun 9, 2020 3:41 PM
Dikemaskini: 7:41 AM

Sektor pelancongan domestik di Langkawi berada di landasan tepat untuk terus menjadi pilihan ramai apabila hotel dan resort di pulau bebas cukai itu menawarkan pelbagai pilihan bilik penginapan pada harga yang amat menarik.

Tanjung Rhu Resort, penginapan lima bintang yang diuruskan Aaariana Hospitality International adalah antara resort dan hotel di pulau itu yang tampil menawarkan potongan pada kadar RM120 semalam bagi sebuah bilik yang asalnya berharga RM1,350.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Reginald T Pereira berkata tawaran khas kepada penduduk negeri Kedah itu mendapat sambutan serta permintaan tinggi sejak dibuka untuk tempahan mulai minggu pertama Aidilfitri.

"Harga asal bilik tersebut iaitu RM1,350 untuk satu malam termasuk sarapan, minuman selamat datang dan pengangkutan ulang-alik dari lapangan terbang ke hotel. Tetapi kami fikir kenapa tidak kita tawarkan penginapan pada kadar yang mampu dibayar orang ramai, jadi Tanjung Rhu Resort tawarkan harga bilik pada kadar RM120 semalam tanpa sarapan atau pengangkutan untuk penduduk Kedah.

"Sambutan amat menggalakkan, kadar penghunian di Tanjung Rhu Resort meningkat antara 70 hingga 80 peratus malahan pernah mencapai 100 peratus penuh pada hujung minggu," katanya kepada Bernama.

Reginald berkata melihat kepada sambutan yang diterima, pihaknya kini melanjutkan tawaran harga penginapan pada kadar menarik kepada seluruh warga Malaysia.

"Apabila Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin umum mengenai Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dan kerajaan membenarkan aktiviti pelancongan domestik bermula esok, kita buat satu lagi promosi kepada penduduk di luar Kedah iaitu harga bilik pada kadar RM280 termasuk sarapan.

"Jadi kedua-dua tawaran iaitu promosi kepada penduduk Kedah pada harga RM120 semalam diteruskan hingga hujung bulan ini manakala untuk penduduk di luar Kedah sehingga 31 Ogos," katanya.

Pengurus Jualan dan Pemasaran Ombak Villa Langkawi Mohd Hafiz Ramli pula berkata resort empat bintang itu akan mula beroperasi pada 20 Jun apabila promosi harga bilik penginapan mendapat sambutan dan mula menerima tempahan orang ramai.

“Setakat semalam, Ombak Villa Langkawi dah terima lebih 60 tempahan.

"... (Ini) apabila promosi harga bilik penginapan untuk satu malam seperti RM190 untuk Ombak Suite berbanding kadar yang ditetap iaitu RM1,500; RM230 untuk Ombak Triple (RM2,500) dan RM750 untuk Seroja Honeymoon Suite mula ditempah orang ramai,” katanya.

Pengerusi Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Kedah dan Perlis Eugene Dass berkata ahli persatuan itu di Langkawi sudah bersedia untuk menerima kemasukan pelancongan yang dijangka meningkat dalam tempoh PKPP.

MAH mempunyai 38 ahli dengan sejumlah 4,972 bilik di Langkawi yang terdiri daripada pengusaha hotel tiga hingga lima bintang, dan semua sudah bersedia untuk menerima kemasukan pelancong dengan memberikan perhatian utama terhadap SOP yang ditetapkan, katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS