Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Isu pengagihan kerusi antara PAS dan Umno melalui gabungan Muafakat Nasional perlu diselesaikan secepat yang mungkin, kata Setiausaha Agung Veteran Umno, Mustapha Yaakub.

Menurutnya, selain sebagai persediaan awal menghadapi kemungkinan pilihan raya umum ke-15 (PRU15) ia juga perlu diberi pemahaman kepada setiap kepimpinan dan penyokong pelbagai peringkat.

"Saya melihat perlunya Muafakat Nasional selesaikan secepat mungkin agihan kerusi untuk mencapai kata sepakat dan persediaan awal. Lagi cepat lagi baik.

"Apabila pengagihan selesai, kedua-dua parti juga perlu memberi penerangan yang jelas kepada setiap peringkat pimpinan dan penyokong dengan tindakan-tindakan yang diambil," katanya kepada Malaysiakini ketika dihubungi, hari ini.

Terdahulu Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man menyatakan jawatankuasa teknikal Muafakat Nasional sedang meneliti formula yang akan diguna pakai dalam pengagihan kerusi.

Tuan Ibrahim Tuan Man 

Secara umum katanya, sebarang keputusan formula tersebut akan mengambil kira setiap aspek dan akan diangkat kepada jawatankuasa induk gabungan untuk sebagai persediaan menghadapi PRU15.

Tiga kaedah bahagi kerusi

Sementara itu Mustapha berkata, pada pengetahuannya terdapat tiga kaedah yang akan diambil oleh Muafakat Nasional dalam menentuan agihan kerusi dibuat.

Kaedah pertama jelasnya, kerusi yang dimenangi oleh Umno pada PRU14 lalu akan terus ditandingi calon daripada Umno dan begitulah sebaliknya.

"Kedua, di kawasan yang dimenangi PH pula. Sama ada Umno atau PAS akan bertanding ia akan ditentukan melalui jumlah yang undi diperoleh parti mana lebih tinggi pada PRU14.

"Walaupun kerusi itu sebelum ini tidak dimenangi PAS atau Umno, mereka boleh lihat siapa yang dapat lebih banyak undi dan parti itu akan bertanding di kerusi itu.

"Kaedah ketiga pula melibatkan budi bicara antara kedua-dua parti, khususnya di kerusi-kerusi yang dilihat seimbang," katanya.

Tambah beliau, pengagihan perlu dilakukan secara situasi menang-menang dan semua pihak perlu berjiwa besar dalam setiap keputusan diambil.

Sebagai rekod Umno dan PAS membentuk Muafakat Nasional selepas tumbangnya BN kepada Pakatan Harapan (PH) pada PRU14 lalu.

Lihat Komen
ADS