Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
UM naik ke kedudukan ke-59 terbaik dunia
Diterbitkan:  Jun 10, 2020 12:54 PM
Dikemaskini: 4:54 AM

Universiti Malaya (UM) berada di tempat ke-59, kedudukan tertinggi pernah dicapai universiti itu dalam Quacquarelli Symonds (QS) World University Rankings.

Ia merupakan kenaikan 11 anak tangga, berbanding di tempat ke-70 pada tahun 2019.

Manakala empat buah universiti awam Malaysia lain turut tersenarai dalam kelompok 200 universiti terbaik dunia.

Universiti Putra Malaysia (UPM) berada di kedudukan ke-132, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di kedudukan ke-141, Universiti Sains Malaysia (USM) di kedudukan ke-142 dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di kedudukan ke-187.

"UM meningkatkan kejayaannya di empat dari enam metrik yang digunakan oleh QS, termasuk kenaikan 76 tempat mengikut fakulti, pengukur kesan penyelidikan," kata Quacquarelli Symonds dalam satu kenyataan hari ini.

UM telah berjaya disenaraikan dalam kedudukan 100 universiti terbaik sejak 2018 iaitu tujuh tahun lebih awal daripada sasaran malah berjaya mengekalkan dan meningkatkan kedudukan setiap tahun sehingga ke kedudukan hari ini.

Pada siri penarafan kali ini 20 buah universiti tempatan telah tersenarai iaitu 12 buah universiti berjaya memperbaiki kedudukan berbanding tahun lepas, enam buah universiti mengekalkan kedudukan dan dua buah universiti jatuh dari kedudukan tahun lepas.

Selain daripada itu, 11 lagi institusi pendidikan tinggi tempatan awam dan swasta juga berjaya disenaraikan di dalam senarai ‘top 1000’ QS World University Rankings 2021.

Universiti terbabit adalah Management and Science University (MSU), Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Sunway University, Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), Universiti Malaysia Pahang (UMP), Multimedia University (MMU), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Sementara itu bagi universiti swasta, Taylor’s University mendahului di kedudukan ke-379 diikuti oleh UCSI University di kedudukan ke-391 dan Universiti Teknologi Petronas (UTP) di kedudukan ke-439.

Universiti Malaya juga berada di kedudukan ketiga terbaik bagi negara-negara Asean.

Pengarah penyelidikan QS Ben Sowter berkata peningkatan universiti adalah hasil usaha bersepadu dan pelaburan yang berterusan.

"Reputasi universiti tempatan berkembang dengan mantap di kalangan ahli akademik dan majikan di peringkat antarabangsa. Trend positif mesti diraikan kerana ia merupakan hasil yang luar biasa memandangkan kedudukannya dinamik dan sangat kompetitif,” tambahnya.

Quacquarelli Symonds (QS) World University Rankings pertama kali dibentangkan adalah pada tahun 2004, dilihat sebagai salah satu daripada tiga ranking universiti yang paling banyak dibaca di dunia, bersama dengan peringkat akademik World University Ranking dan Times Higher Education World University Rankings.

Lihat Komen
ADS