Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
SOP satu kereta 4 orang, atau ikut kapasiti kenderaan masih kekal
Diterbitkan:  Jun 10, 2020 3:42 PM
Dikemaskini: 12:23 PM

Prosedur operasi standard (SOP) menaiki kenderaan persendirian iaitu empat penumpang atau mengikut kapasiti kenderaan dengan syarat dari rumah dan keluarga yang sama, kekal walaupun ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob berkata demikian ketika menjawab pertanyaan pemberita semasa sidang media hariannya hari ini di Putrajaya.

"Setakat ini masih kekal (SOP kenderaan pesendirian) kalau ada perubahan kita akan umumkan kemudian," katanya.

PKPP yang bermula hari ini menyaksikan lebih banyak kelonggaran diberikan, meskipun SOP tertentu perlu diamalkan dalam memerangi Covid-19.

Menjawab soalan lain, Ismail berkata bahawa anggota tentera akan terus membantu polis dalam menguatkuasakan SOP dan peraturan dalam tempoh PKPP.

Beliau berkata tentera yang terlibat masih terdiri daripada pasukan petugas yang ditubuhkan dengan polis untuk melakukan pemeriksaan dan operasi lain sebelum ini.

Menteri kanan itu juga menjelaskan bahawa polis telah menarik balik semua sekatan jalan raya di lebuh raya dan jalan raya utama kerana larangan perjalanan antara negara telah ditamatkan.

“Polis menarik balik semua sekatan jalan raya kecuali di lorong-lorong tikus yang digunakan oleh pendatang asing tanpa dokumen.

"Aliran lalu lintas di lebuh raya dan jalan utama di seluruh negara masih lancar ... tetapi polis menjangkakan jumlah kenderaan akan meningkat dari hari Jumaat hingga Ahad (12 hingga 14 Jun) kerana ramai yang akan memilih untuk pulang ke kampung halaman untuk bertemu dengan keluarga pada bulan Syawal,” katanya.

PKPP dijadualkan berakhir pada 31 Ogos.

Lihat Komen
ADS