Mahkamah tetapkan 21 Julai pengurusan kes Apandi Ali saman Kit Siang
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan 21 Julai ini bagi pengurusan kes saman RM10 juta oleh bekas Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali terhadap Penasihat DAP Lim Kit Siang kerana didakwa memfitnahnya dalam satu artikel berhubung dakwaan penglibatannya dalam skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Peguam Harshaan Zamani yang mewakili Lim memberitahu pemberita, mahkamah menetapkan tarikh pengurusan kes itu bagi membolehkan kedua-dua pihak menyediakan semua dokumen untuk perbicaraan yang dijadualkan pada September ini.
"Kami menerima surat daripada Timbalan Pendaftar Farah Shuhada Ramli bertarikh 2 Jun yang menyatakan pengurusan kes hari ini dilapangkan sehingga 21 Julai ini dihadapan Hakim Datuk Azimah Omar melalui e-review (secara dalam talian)," katanya.
Menurut peguam berkenaan, semasa prosiding sebelum ini, mahkamah telah menetapkan 28 hingga 30 Sept dan 1 hingga 2 Okt untuk perbicaraan kes tersebut.
Pada 5 Julai 2019, Mohamed Apandi memfailkan saman fitnah terhadap Lim dan berdasarkan pernyataan tuntutannya, plaintif mendakwa pada 6 Mei 2019, Lim telah menulis dan menyebabkan penyiaran atau penerbitan artikel bertajuk 'Dangerous fallacy to think Malaysia’s on the road to integrity’ dalam portal berita Malaysiakini.
Beliau mendakwa perkataan yang dikatakan fitnah dalam artikel itu antara lain membawa maksud bahawa beliau terlibat dalam jenayah dan telah bersubahat dalam skandal kewangan 1MDB, seorang individu yang tidak mempunyai moral dan integriti, tidak beretika serta telah menyalahgunakan kuasanya sebagai peguam negara pada masa itu.
Mohamed Apandi yang dilantik sebagai peguam negara pada 27 Julai 2015 hingga 4 Jun 2018 menegaskan bahawa perkataan-perkataan fitnah itu adalah tidak benar dan sengaja ditulis dengan niat untuk mencemarkan imej dan kredibilitinya sebagai bekas Peguam Negara Malaysia demi mendapatkan publisiti murahan.
Beliau menuntut ganti rugi teruk, ganti rugi teladan serta ganti rugi am sebanyak RM10 juta, perintah injunksi bagi menghalang Lim, pekerja, ejen atau mana-mana pihak daripada menerbitkan semula perkataan fitnah dalam artikel berkenaan selain menuntut kos dan relief lain yang sesuai daripada mahkamah.
- Bernama

