Malaysia hari ini mencatatkan dua lagi kes Covid-19 baru. Daripada jumlah itu,s atu adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara manakala satu lagi adalah kes penularan tempatan.

Penularan tempatan itu melibatkan seorang warga asing. Ini menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia setakat hari ini adalah 8,338 kes.

“Sukacita dimaklumkan bahawa pada hari ini juga, tiada kes penularan dalam negara dicatatkan di kalangan warganegara Malaysia.

“Satu kes penularan di dalam negara yang dicatatkan adalah merupakan seorang bukan warganegara di mana kes ini dilaporkan di Kuching, Sarawak iaitu kes saringan kepada kontak rapat kes 8303,” kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham abdullah pada sidang media hariannya di Putrajaya, hari ini.

Sejak semalam, tidak ada penularan yang membabitkan rakyat Malaysia bermula 18 Mac apabila perintah kawalan pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Dr Noor Hisham juga melaporkan sejumlah 39 kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini.

“Jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari Covid-19 dan telah discaj daripada wad adalah sebanyak 7,014 kes atau 84.1 peratus daripada jumlah keseluruhan kes,” katanya.

Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 1,206 kes dan mereka telah diasingkan dan diberi rawatan.

Beliau berkata, sehingga kini, sebanyak lima kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan tiada kes memerlukan bantuan pernafasan.

“Dukacita dimaklumkan bahawa terdapat pertambahan satu lagi kes kematian berkaitan Covid-19. Justeru, jumlah kumulatif kes kematian di Malaysia adalah sebanyak 118 kes atau 1.42 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Kes kematian ke-118 (kes ke-824) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 61 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis dan penyakit buah pinggang.

“Beliau mempunyai sejarah menghadiri perhimpunan di Seri Petaling. Beliau telah dirawat di Hospital Sungai Buloh pada 15 Mac lalu dan disahkan meninggal dunia pada 10 Jun jam 7.03 pagi,” katanya.

Pada sidang media itu Dr Noor Hisham turut menyentuh mengenai peningkatan kes kemalangan jalan raya sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) jika dibandingkan semasa penguatkuasaan PKP.

Katanya mengikut perangkaan dan statistik oleh Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Polis Diraja Malaysia (PDRM), jumlah kes kemalangan jalan raya ketika PKP Fasa Satu daripada 18 Mac sehingga 31 Mac ialah 5,498 kes dengan 58 kematian.

“Ini bermakna, kadar kemalangan seharian ialah 392.7 kemalangan sehari. Jika dibandingkan, kes kemalangan naik mendadak kepada 738 kemalangan sehari semasa PKPB mula berkuat kuasa pada 4 Mei 2020.

“Data PDRM juga menunjukkan dari tempoh 5 Mei 2020 sehingga 12 Mei 2020, jumlah kemalangan jalan raya ialah 5,904 kes dengan 68 kematian, dan dari 13 Mei 2020 sehingga 9 Jun 2020 pula sebanyak 25,251 kes kemalangan telah direkodkan dengan 231 kematian iaitu 738 kemalangan sehari,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata statistik awal bagi kes kemalangan atau trauma yang mendapat rawatan di hospital pula menunjukkan penurunan 65 hingga 75 peratus bagi semua negeri semasa PKP berbanding sebelum bermulanya PKP.

Namun jumlah itu meningkat sebanyak 30 peratus semasa PKPB memandangkan terdapat lebih banyak kenderaan di atas jalan raya, sekali gus menjadi kebimbangan KKM susulan pembukaan semula pelbagai sektor ekonomi, sosial dan lain-lain sektor dalam tempoh PKP Pemulihan (PKPP).

Katanya kemalangan bukan sahaja mendatangkan implikasi serius termasuk kehilangan nyawa dan kecacatan kekal kepada yang terlibat, tetapi juga terhadap perkhidmatan di hospital.

Sehubungan itu beliau menasihati orang ramai supaya berhati-hati di jalan raya dan elakkan memandu sekiranya penat atau tidak cukup rehat.