Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Daun selasih daun mengkudu, terima kasih I love all of you'
Diterbitkan:  Jun 10, 2020 9:16 PM
Dikemaskini: 1:16 PM

Sidang media harian Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bertukar menjadi hiba hari ini apabila Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah mengumumkan persaraan salah seorang timbalannya.

Kejadian berlaku selepas berakhirnya sesi soal jawab di antara wartawan dengan Noor Hisham di hujung sidang media berkenaan.

"Jika tiada soalan lagi, saya ingin memaklumkan bahawa hari ini adalah hari terakhir salah seorang panglima perang saya yang bersama-sama memerangi Covid-19, telah bersara wajib," kata Noor Hisham dengan suara yang tersekat dan sebak.

Beliau menyatakan demikian untuk mengumumkan persaraan Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan), Dr Rohaizat Yon, yang berkhidmat dalam kerajaan selama 35 tahun.

“Berkhidmat selama 35 tahun dan 10 hari, beliau telah berada bersama pasukan KKM mengharungi semua cabaran dan melawan menentang penularan Covid-19,” kata Noor Hisham bagi mengakhiri sidang media tersebut.

Beliau juga menyampaikan penghargaan buat Rohaizat yang memberikan komitmen yang tinggi sepanjang masa.

Ucapan itu kemudian disambut dengan tepukan gemuruh hadirin yang berada di dewan tempat sidang media itu diadakan.

Rohaizat - yang berada di sisi Noor Hisham pada hampir semua sidang media harian sejak isu Covid-19 melanda negara awal tahun ini - meletakkan tangan di bahu kirinya sebagai isyarat terima kasih.

Semasa berucap Rohaizat turut menyatakan penghargannya kepada kakitangan KKM dan rakyat negara ini.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada pengamal media yang memainkan peranan untuk menyampaikan maklumat berkenaan Covid-19 kepada orang ramai.

Jelasnya juga, nasihat kementerian dalam penjarakan sosial serta memakai penutup muka dan hidung juga membawa hasil yang berkesan.

"Daun selasih daun mengkudu, terima kasih I love all of you (saya sayang anda semua)," kata Rohaizat.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

 

Lihat Komen
ADS