Pemilik lori serah memo, minta campur tangan menteri isu syarikat kredit
Lebih 300 pemilik lori muatan berat dari Lembah Klang hari ini merayu Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz untuk campur tangan selepas mendakwa cadangan syarikat kewangan kredit dalam isu pembayaran balik pinjaman lori mereka sebagai tidak munasabah.
"Kami 'zero income' selepas dikenakan PKP (Perintah Kawalan Pergerakan). Jadi, kami tak mampu bayar pinjaman.
"Tapi, syarikat kewangan kredit cuma bagi kami tiga pilihan sahaja. Pertama, penjadualan semula pinjaman di mana kami terpaksa bayar lebihan RM8,000 hingga RM10,000.
"Kedua, dikenakan tambahan faedah 2 peratus setiap bulan sehingga kami habis membayar tunggakan bulanan kira-kira tiga hingga empat bulan bermula Mac. Ketiga, serah balik lori kalau tidak bayar tunggakan.
"Ketiga-tiga cadangan ini tidak munasabah dan langsung tidak membantu kami. Jadi, kami rayu menteri untuk memberi perhatian sewajarnya agar lori tipper terus dapat 'bernafas'," kata jurucakapnya, R Yoganathan kepada pemberita di Kementerian Kewangan, Putrajaya, hari ini.
Terdahulu, beliau mewakili lebih 300 pemilik lori muatan berat menyerahkan satu memorandum kepada menteri.
Memorandum tersebut diterima oleh Pegawai Tugas-Tugas Khas Menteri Mohd Fahmi Mokhtar.
"Yang 300 pemilik ini cuma di Lembah Klang sahaja. Saya percaya pemilik lori tipper di seluruh negara menghadapi situasi yang sama kerana kami hanya boleh mohon pinjaman syarikat kewangan kredit.
"Rayuan kami kepada kerajaan, berikan kami moratorium selama enam bulan untuk membayar balik tunggakan ansuran bulanan," katanya.
Menjelaskan lagi, Yoganathan berkata walaupun kebanyakan sektor dibuka semula, bukan sektor pembinaan dan lombong kuari dibuka semula.
"Yang dibuka pun cuma dua hingga tiga pembinaan di sekitar Lembah Klang. Nak dapat satu perjalanan pun susah.
"Pemandu lori terpaksa tidur di dalam lori di kuari pada waktu malam untuk dapat satu 'trip' pada pagi. Ini belum kira waktu larangan membawa masuk lori muatan berat di kawasan bandar," katanya.
Beliau juga menambah bahawa mereka juga bercadang untuk mengadakan satu perjumpaan dengan Menteri Sumber Manusia M Saravanan untuk membincang isu pemandu lori muatan dan pembantu lori yang kini tiada gaji.

