story images
story images
mk-logo
Berita
Shafie: Tiga kali Anifah hubungi Mohamaddin minta lompat parti
Diterbitkan:  Jun 11, 2020 4:24 PM
Dikemaskini: 10:23 AM

Ketua Menteri Sabah Mohd Shafie Apdal mendakwa bekas menteri pelancongan, Mohamaddin Ketapi dipujuk oleh Anifah Aman supaya meninggalkan Parti Warisan Sabah (Warisan).

Beliau berkata tiga kali bekas menteri luar itu menghubungi wakil rakyat berkenaan supaya melompat parti.

"Mohamaddin maklum kepada saya sudah dihubungi tiga kali oleh Anifah aman pujuk berbagai perkara yang sekiranya nak memasuki parti perjuangan mereka.

"Saya tanya (Mohamaddin) you sure (awak pasti)....Mohamaddin kata saya tahu suara dia, saya tahu nombor telefon dia," katanya di Kota Kinabalu, hari ini.

Mohd Shafie bagaimanapun berkata bahawa wakil rakyat Warisan telah membuat keputusan untuk kekal bersama parti yang dipimpinnya.

Namun, Mohamaddin tidak bersama Mohd Shafie pada sidang media yang berlangsung petang tadi.

Mohd Shafie memaklumkan yang anggota parlimen Lahad Datu itu berada di Kuala Lumpur dan telah memaklumkan pendiriannya untuk kekal bersama Warisan.

"Mohamaddin berkata apa juga keputusan beliau tetap akan mempertahankan, pendirian beliau cukup jelas," katanya.

Malaysiakini sedang cuba mendapatkan reaksi Mohamaddin dan Anifah berkaitan dakwaan itu.

Sebelum ini, Umno Sabah menafikan tuduhan Mohd Shafie bahawa parti itu dan bekas ketua menteri Musa Aman sedang "membeli wakil rakyat" bagi menjatuhkan kerajaan Parti Warisan Sabah (Warisan) di negeri itu.

Pengerusi Umno Sabah Bung Moktar Radin berkata kenyataan yang dikeluarkan pemimpin parti Warisan itu adalah bersifat provokasi melampau serta hasutan.

Beliau berkata, kerajaan Warisan adalah kerajaan pintu belakang dalam erti kata sebenarnya dan kerajaan itu goyang disebabkan ketidakupayaan mereka mentadbir negeri.

"Kekalutan dalam pentadbiran kerajaan Warisan ditambah lagi Mohd Shafie dibarisi kabinet dan pemimpin yang mengamalkan sindrom penafian, kurang bekerja untuk rakyat, itu menjadi punca kerajaan Warisan goyang.

"Tiada kena mengena dengan dakwaan yang Umno sedang melakukan gerak kerja untuk merampas kuasa daripada kerajaan yang asalnya dari belakang.

"Warisan perlu sedar bahawa kerajaan yang ditubuhkan mereka secara pintu belakang tidak pernah kukuh sejak dari awal lagi," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, Mohd Shafie berkata selain Mohamaddin beberapa lagi nama pemimpin parti Warisan disebut-sebut oleh pihak lawan akan meninggalkan parti itu.

Oleh itu beliau meminta pihak berkuasa termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya bertindak terhadap pihak yang cuba menyogok wakil rakyat ini.

"Saya harap agensi-agensi berkaitan seperti SPRM, ambil tindakan.

"Tawar jawatan, imbuhan wang ini rasuh untuk dapatkan sokongan," katanya .

Jelas Mohd Shafie wakil rakyat Warisan tidak akan sesekali berpaling tadah kerana maruh dan perjuangan mereka tidak boleh dinilai dengan wang ringgit.

Lihat Komen
ADS