Penganggur didakwa tumbuk, lecurkan jari isteri
Seorang penganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Melaka hari ini atas pertuduhan mencederakan isterinya dengan menumbuk pipi mangsa dan mengakibatkan jari wanita itu melecur minggu lepas.
Mohd Iman Salim, 32, yang merupakan bapa kepada dua anak membuat pengakuan itu di hadapan majistret Teoh Shu Yee.
Lelaki itu didakwa sengaja mendatangkan cedera dengan menumbuk pipi kiri dan mengakibatkan jari kelingking kanan mangsa yang berusia 26 tahun melecur terkena cerek panas.
Kejadian berlaku kira-kira jam 11 malam di dapur rumah mereka di Kampung Tanah Merah Jaya, Tanjung Kling 1 Jun lepas.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 326A akta sama yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Puteri Nor Nadia Mohamed Iqbal mencadangkan tertuduh dikenakan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin, namun tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu agar jaminan itu dikurangkan atas alasan dia tidak bekerja.
Teoh kemudian membenarkan Mohd Iman diikat jamin RM1,800 dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan iaitu dia tidak boleh mengacau ganggu mangsa.
Mahkamah menetapkan 23 Julai depan untuk sebutan semula kes.
- Bernama

