Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah menyifatkan berita palsu serta maklumat tidak sahih merebak lebih pantas di kalangan masyarakat berbanding penularan virus Covid-19.

Katanya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bukan sahaja perlu memerangi wabak itu di negara ini, tetapi turut memerangi infodemik berkaitan virus berkenaan dan kedua-duanya harus ditangani secara serentak.

"Sejak awal wabak Covid-19 lagi, kita sudah berdepan cabaran memerangi virus dan 'viral'. Virus yang kita hadapi adalah virus SARS-CoV-2 yang menyebabkan jangkitan Covid- 19.

"Isu 'viral' yang dimaksudkan pula adalah penularan berita palsu serta maklumat tidak sahih yang merebak dalam masyarakat lebih pantas daripada penularan virus Covid-19 itu sendiri.

“Seperti yang disebut oleh Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus, Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kita bukan sekadar memerangi wabak Covid-19, malah turut memerangi infodemik berkaitan dengan virus ini.

“Kedua-dua isu ini perlu kita tangani serentak." katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.

Pada sidang medianya itu, Dr Noor Hisham turut mengucapkan penghargaan kepada pihak media yang telah memainkan peranan besar sebagai barisan hadapan dalam menyampaikan situasi sebenar Covid-19 kepada masyarakat.

Katanya, pengamal media dan wartawan juga memainkan peranan utama dalam 'perang' melawan virus berbahaya berkenaan.

"Ini termasuk tugasan yang dijalankan oleh wartawan, jurugambar, jurukamera di lapangan dan pelbagai petugas di studio, misalnya penyunting, juruberita, petugas media sosial dan sebagainya,” katanya,

Beliau juga memuji ramai netizen yang telah bersama-sama dengan kerajaan dalam memerangi Covid-19.

“Ramai yang telah menjalankan tanggungjawab sosial mereka dengan memuatnaik dan menyebar luas maklumat yang tepat dan sahih mengenai Covid-19, Perintah Kawalan Pergerakan dan pelbagai maklumat berkaitan yang disalurkan oleh kerajaan,” katanya.