Covid-19: 33 kes baru, 17 penularan dalam negara
Memasuki hari ketiga pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), sebanyak 33 kes baru positif Covid-19 dikesan hari ini membabitkan 17 kes penularan dalam negara.
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, dengan jumlah itu, kes positif Covid-19 di negara kini adalah sebanyak 8,402 kes.
"Dukacita dimaklumkan bahawa terdapat pertambahan satu (1) lagi kes kematian berkaitan Covid-19.
"Justeru, jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 119 kes (1.42 peratus daripada jumlah keseluruhan kes)," kata beliau pada sidang media harian di Putrajaya.
Korban terbaru Covid-19 itu ialah seorang wanita berusia 85 tahun yang ditemui meninggal dunia di rumahnya semalam. Mangsa dibawa ke Hospital Keningau di Sabah dan diuji positif wabak itu.
"Jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 1,115 kes.
"Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan," katanya.
Mengenai 33 kes baru yang dilaporkanitu, katanya 16 kes adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara.
"Daripada 17 kes penularan di dalam negara, 14 kes adalah bukanwarganegara dan tiga kes adalah di kalangan warganegara Malaysia," jelasnya.
Daripada tiga penularan tempatan, satu kes direkodkan di Kuala Lumpur dan dikaitkan dengan satu lagi kluster di tahfiz di Selangor.
Satu lagi kes pula melibatkan seorang individu yang merupakan kontak rapat dengan mangsa yang ditemukan meninggal dunia semalam.
Sehingga kini, kata Dr Noor Hisham terdapat 1,115 individu sedang dirawat dengan "empat kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU)."
"Tiada kes yang memerlukan bantuan pernafasan," katanya.
Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata sejumlah 103 kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya sebanyak 7,168 kes atau 85.3 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.
Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.


