'Pesakit Covid-19 yang sembuh tak perlu lagi jalani ujian sebelum keluar hospital'
Ujian er-PCR tidak lagi menjadi syarat untuk pesakit Covid-19 dibenarkan keluar daripada hospital, kata Kementerian Kesihatan.
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pesakit yang bergejala akan dibenarkan berbuat demikian jika mereka tidak lagi demam (tanpa mengambil ubat demam) selama tiga hari, dan selepas 14 hari gejala itu dikesan.
Bagi pesakit yang tidak menunjukkan gejala pula, mereka dibenarkan pulang setelah 14 hari disahkan positif Covid-19.
Sebelum ini, pesakit yang bergejala hanya dibenarkan keluar selepas tidak lagi demam dan dua ujian daripada sampel yang diambil dengan jarak masa sekurang-kurangnya 24 jam, menunjukkan negatif.
Noor Hisham berkata, kajian di seluruh dunia menyimpulkan bahawa tahap kebolehjangkitan pesakit Covid-19 adalah paling tinggi ketika dua atau tiga hari sebelum menunjukkan gejala.
Tahap kebolehjangkitan itu akan menurun secara mendadak dalam masa tujuh hari selepas gejala dikesan.
Menurutnya lagi, biasanya ujian rt-PCR yang mengesan penanda genetik Covid-19 akan memberikan keputusan "positif palsu" kerana ia juga boleh mengesan partikel virus "yang telah mati" yang tidak lagi berjangkit.
Memetik satu kajian di Korea Selatan, Noor Hisham berkata tiada di kalangan 790 kontak rapat 285 pesakit Covid-19 yang telah sembuh yang dijangkiti wabak itu.
"Ini menunjukkan mereka yang telah pulih tidak boleh menjangkiti orang lain," katanya lagi.
Beliau juga memetik kajian yang cuba membiak virus itu di makmal dengan menggunakan sampel daripada pesakit yang telah sembuh tetapi terus menunjukkan keputusan positif.
"Maka kementerian menyimpulkan ujian Covid-19 yang positif daripada pesakit yang telah sembuh adalah disebabkan partikel atau fragmen partikel virus yang telah 'mati'," katanya.
Katanya lagi, dapatan kajian itu konsisten dengan dokumen Pertubuhan Kesihatan Dunia bertajuk "Clinical management of Covid-19, Interim Guidance, May 2020" yang menyatakan Covid-19 hanya boleh menular dalam masa sepuluh hari gejala bermula.

