Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MB Johor perlu jelaskan 'surat ikrar sokong Azmin', kata MP PKR
Diterbitkan:  Jun 12, 2020 9:51 PM
Dikemaskini: 2:06 PM

Menteri Besar Johor, Hasni Mohammad digesa menjelaskan mengapa kerajaan negeri itu meminta ketua kampung masyarakat Cina untuk memberikan ikrar menyokong Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Azmin Ali.

Dalam satu kenyataan hari ini, Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh berkata Hasni perlu memberitahu rakyat Johor sekiranya beliau membenarkan amalan ini.

"Bukankah sokongan yang ditagih daripada ketua masyarakat Cina kepada Azmin satu tindakan membelakangi kerajaan Negeri Johor malah tidak menghormati MB sebagai Ketua Negeri?

"Apakah muslihat politik itu ialah supaya kerajaan Johor dan PN Johor yang terdiri daripada Umno, Bersatu dan PAS Johor, tunduk kepada Azmin," soal Syed Ibrahim (gambar, bawah).

Azmin yang juga menteri kanan ialah anak jati Selangor yang tidak mempunyai akar umbi di Johor dan bukan ahli Umno, yang mana Hasni merupakan pemimpinnya.

Malaysiakini telah cuba menghubungi pejabat Hasni untuk meminta penjelasan tetapi masih belum mendapat maklum balas.

Semalam, exco kerajaan negeri dan ahli parlimen bebas Chong Fatt Full mengesahkan bahawa ketua kampung masyarakat Cina di Johor diminta menandatangani surat ikrar sokongan itu.

Menurut salinan surat yang dilihat Malaysiakini, penandatangan akan memberikan "sokongan padu" kepada "wadah politik baru" yang ditubuhkan di bawah kepimpinan Azmin.

Chong mendakwa tidak seperti ketika pentadbiran PH di Johor, ketua kampung yang baru ini tidak perlu menjadi ahli parti pemerintah.

“Jadi (pemilihan) kali ini saya atau pegawai saya tidak meminta sesiapa untuk keluar daripada mana-mana parti.

“Kami hanya mahu mereka (calon ketua masyarakat) tandatangan. Jadi mereka boleh tonjolkan pendirian mereka," katanya.

Adun Pemanis itu juga menjelaskan tiada permintaan atau syarat yang mengarahkan seseorang calon supaya keluar dari parti jika mahu dilantik kerajaan negeri.

“Kita perlu pastikan bahawa pendirian politik mereka ke arah kerajaan supaya apabila kita lakukan kerja kita, ia lebih mudah. Jika tidak kami tak dapat lakukan kerja kami,” katanya.

[Nota editor: Ketika dihubungi, Adun Tangkak Ee Chin Li berkata pentadbran PH tidak pernah memaksa ketua kampung untuk menyertai parti politik dalam gabungan itu, memaklumkan fakta terdapat ketua kampung yang merupakan pemimpin NGO bebas.]

Sementara itu, Syed Ibrahim mengulang gesaannya supaya SPRM menyiasat Chong kerana didakwa mendapat keuntungan politik dengan menjadikan ketua kampung itu sebagai penyokong Azmin.

"Jelas terdapat elemen konflik kepentingan dan salah guna jawatan kerajaan sama ada sebagai menteri atau exco untuk “membeli” sokongan sebagai sekutu politik.

"Laporan polis dan laporan SPRM wajar dibuat ke atas exco Johor tersebut yang barang kali ada bidang kuasa dalam menentukan siapa yang layak atau siapa yang akan ditolak menjadi ketua masyarakat Cina.

"Malah exco berkenaan wajar dicutikan jawatan sementara SPRM membuat siasatan selepas satu laporan polis dan laporan SPRM dibuat," katanya.

[Baca berita asal]


Laporan tambahan oleh Ng Xiang Yi.

Lihat Komen
ADS