5 lagi suspek pemalsuan dokumen ujian Covid-19 ditahan
Lima lagi suspek telah ditahan bagi siasatan lanjut dalam sindiket pemalsuan slip keputusan ujian saringan Covid-19 yang dijual RM50 kepada warga asing.
Ketua Polis Kuala Lumpur Mazlan Lazim dalam satu kenyataan berkata bahawa kelima-lima warga asing yang berusia dalam lingkungan 26 hingga 30 tahun itu ditangkap pada malam hari Selasa di Jalan Tengkat Tong Shin, Kuala Lumpur.
“Kesemua suspek bekerja sebagai buruh binaan di sebuah syarikat pembinaan di Kuala Lumpur.
“Polis turut merampas lima buah telefon bimbit dan satu salinan surat saringan Covid-19 yang bertulis Lablink Medical Laboratory,” katanya.
Susulan penangkapan lima suspek dan tangkapan terdahulu dua warga asing pada hari Selasa lalu, Mazlan berkata bahawa pihaknya sudah menerima tiga lagi laporan polis berhubung pemalsuan dokumen keputusan ujian saringan Covid-19.
Tambahnya, dalam ketiga-tiga kes tersebut, pihak hospital dan makmal di sekitar Kuala Lumpur telah menerima panggilan daripada majikan yang ingin mendapatkan pengesahan laporan keputusan ujian saringan tersebut.
“Setelah semakan dibuat, pihak hospital dan makmal tersebut mendapati nama pesakit yang dinyatakan dalam laporan keputusan ujian saringan Covid-19 tersebut tidak dapat dikesan dalam rekod berdaftar hospital atau makmal.
“Doktor yang membuat saringan, tidak bertugas di hospital atau makmal seperti dalam laporan keputusan ujian saringan Covid-19 tersebut,” katanya lagi.
Mazlan berkata kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 468/471 Kanun Keseksaan (menggunakan dokumen palsu sebagai tulen) yang boleh dihukum penjara maksimum tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan.
Beliau menambah, kes juga sedang disiasat di bawah Seksyen 22(d) Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen.
Tangkapan dibuat ketika peningkatan penularan kes Covid-19 di kalangan pekerja migran tanpa dokumen yang berada di empat depoh tahanan imigresen dan kemudian telah dibendung.
Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Dr Noor Hisham sebelum ini mengatakan bahawa dokumen Covid-19 tidak berguna kerana ia hanya sah pada waktu ujian diambil dan tidak patut diguna bagi menentukan status individu selepas itu.
Bagaimanapun, Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob semalam menggesa rakyat supaya meminta pendandan rambut mereka mengeluarkan surat pengesahan negatif Covid-19 jika tukang gunting rambut itu merupakan warga asing.

