mk-logo
Berita
Nufam tak puas hati kelonggaran jarak sosial dalam pesawat
Diterbitkan:  Jun 13, 2020 5:35 PM
Dikemaskini: 9:35 AM

Kesatuan Kebangsaan Anak Kapal Kabin Penerbangan Malaysia (Nufam) menyuarakan rasa bimbang dan terkejut dengan kelonggaran peraturan berhubung penjarakan sosial apabila syarikat penerbangan memulakan operasi penerbangan seperti biasa.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini oleh sekretariat Nufam, persatuan itu berkata Kementerian Pengangkutan telah mengeluarkan surat kepada Mavcom dan Lembaga Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) di mana ia menunjukkan bahawa setelah langkah-langkah kesihatan lain dilaksanakan, peraturan penjarakan sosial tidak perlu dilaksanakan untuk membenarkan syarikat penerbangan kembali beroperasi sepenuhnya.

Ia sejajar dengan pengumuman Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong pada Khamis bahawa keputusan untuk tidak mewajibkan penjarakan sosial di dalam pesawat dibuat setelah mempertimbangkan standard dan garis panduan antarabangsa Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA).

Menurut Wee (gambar, bawah), garis panduan IATA tidak memerlukan jarak sosial tetapi menyatakan prosedur yang jelas seperti pemeriksaan kesihatan termasuk mengambil suhu badan, memakai penutup mulut dan hidung dan prosedur keselamatan lain yang perlu dilakukan oleh kru pesawat sebelum dan selepas penerbangan.

Nufam, bagaimanapun, tidak berpuas hati kerana kekurangan perundingan dibuat dalam hal ini dan berkata arahan baru itu membahayakan juruterbang dan anak kapal.

"Dengan arahan baru dan secara tiba-tiba yang dikeluarkan kepada Mavcom dan CAAM, syarikat penerbangan kini akan dapat membawa muatan penumpang berkapasiti penuh 100 peratus untuk perjalanan domestik dan kawasan sekitar (regional).

"Mereka bahkan tidak membincangkan apa-apa (dengan kami) tetapi sudah mengeluarkan arahan yang boleh memberi risiko terhadap anak kapal dan juruterbang.

"Persoalannya sekarang adakah anak kapal mampu mengendalikan SOP Covid-19 di atas kapal terbang dengan kapasiti penumpang 100 peratus?

"SOP sedia ada sekarang aini terpakai untuk setengah daripada kapasiti, bukan berdasarkan kapasiti penuh. Anak kapal akan berdepan dengan tugasan tambahan," tambah Nufam.

Berat sebelah niaga

Kesatuan sekeja itu juga mendakwa Kementerian Pengangkutan mengamalkan sikap berat sebelah dalam dasar membendung penularan Covid-19 untuk menyenangkan syarikat penerbangan tanpa meminta mereka menempatkan tenaga kerja tambahan dalam penerbangan.

"Bagaimana anak kapal dapat menjalankan perkhidmatan mereka dan pada masa sama perlu mengamalkan SOP penjarakan sosial," soal Nufam.

Persatuan itu juga menekankan berhubung kebimbangan mengenai siapa yang akan menjaga kebersihan dan sanitasi dalam tandas pesawat semasa penerbangan?

"Di bawah SOP yang ada sekarang, anak kapal perlu membersihkan dan memeriksa tandas selepas setiap lima penumpang menggunakan tandas. Adakah terdapat tukang bersih khas yang diambil bekerja oleh syarikat penerbangan untuk membersihkan tandas tersebut setiap 10 hingga 15 minit," soal kesatuan itu.

Nufam juga mahu Kementerian Kesihatan mengesahkan bahawa pihaknya telah memberikan persetujuan untuk kapasiti muatan penuh dan pengeluaran garis panduan penjarakan sosial sewaktu penerbangan.

"Kami juga percaya bahawa penjarakan sosial dalam kapal terbang mesti dijaga, seperti mana yang dilakukan di semua restoran dan gerai makanan.

"Sehingga negara benar-benar bebas dari Covid-19, kita semua harus berdepan dengan penularan Covid-19. Kami mendesak kedua-dua kementerian untuk memikirkan masalah ini dengan serius dan meletakkan keselamatan dan nyawa anak kapal serta penumpang melebihi (kepentingan) perniagaan," kata Nufam.

Kesatuan itu juga menggesa supaya diadakan mesyuarat dewan Majlis Perundingan Penerbangan Nasional (NACC) bagi meneliti mengenai perkara berkenaan.

"Anak kapal, juruterbang dan jurutera juga terjejas dan diberhentikan oleh syarikat penerbangan sementara syarikat penerbangan terus beroperasi kembali seperti biasa. Baru tiga bulan berlalu sudah ribuan orang kehilangan pekerjaan," kata mereka.

Pada Khamis, Wee memuat naik hantaran di Facebook bahawa beliau telah bertemu dengan wakil syarikat penerbangan utama Malaysia untuk membincangkan pengoperasian semula industri penerbangan negara itu.

Ini termasuk Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines Kapten Izham Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia Riad Asmat dan Ketua Pegawai Eksekutif Malindo Air Mushafiz Mustafa Bakri.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

 

Lihat Komen
ADS