PM: Kerajaan komited laksana IPCMC
Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menegaskan, kerajaan komited untuk menubuhkan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC).
Menurutnya, kelewatan mengumumkan penubuhan institusi tersebut tidak bermakna kerajaan tidak komited atau tidak tegas untuk menubuhkannya.
Abdullah berkata, kerajaan memandang serius usaha memperbaiki Polis Diraja Malaysia (PDRM) agar menjadi badan penguatkuasa undang-undang yang berwibawa dan berkesan.
"Maka dengan itu apa jua mekanisme yang perlu ditubuhkan untuk tujuan itu akan kita laksanakan."
"Saya bertanggungjawab kepada polis untuk pastikan polis berjalan dengan baik. Komitmen itu adalah terperi," katanya pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Menurutnya, Peguam Negara (AG) sudah hampir selesai menjalankan kajian penubuhan IPCMC dan di peringkat akhir untuk menasihatkan kerajaan mengenainya.
Menurut laporan Bernama, Perdana Menteri menjawab soalan ketua pembangkang Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur) mengenai perkembangan kajian AG terhadap cadangan penubuhan IPCMC dan sama ada kerajaan masih berpegang kepada janjinya untuk menubuhkan suruhanjaya itu.
Beliau yang juga Menteri Keselamatan Dalam Negeri menambah, pihak AG telah mengambil kira pandangan ramai pihak berhubung cadangan tersebut sebelum menasihatkan kerajaan.
Menyentuh tarikh Mei 2006 yang ditetapkan Suruhanjaya Diraja Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan Polis Diraja Malaysia untuk menubuhkan IPCMC, Abdullah berkata cadangan itu sememangnya mengambil masa kerana ia adalah sesuatu yang penting dan melibatkan pelbagai pihak.

